Kumpulan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) mengecam tindakan polis menahan dan mengambil keterangan lapan individu, termasuk lima mahasiswa, yang berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi menyatakan solidariti terhadap seorang pelajar yang sedang disiasat.
Siswi tersebut, Alyaah Hani Anuar dipanggil untuk disoal siasat berhubung perhimpunan solidariti Palestin yang diadakan dua bulan lalu. Haram mendakwa ini merupakan kali ketiga dia dipanggil untuk siasatan.
Setiausaha Agung Haram, Adam Nor mengecam tindakan polis yang menahan lapan individu itu sebagai satu bentuk intimidasi dan penyalahgunaan kuasa.
Adam turut mendakwa Hani telah diberitahu dia tidak akan dibebaskan selagi masih ada orang yang berkumpul di luar balai polis.
“Tindakan pihak polis ini dilihat sebagai satu bentuk intimidasi yang jelas dan tidak berperikemanusiaan apabila mereka memaklumkan bahawa saudari Hani tidak akan dibenarkan keluar dari tahanan di IPD Dang Wangi selagi rakan-rakan yang menunjukkan solidariti di hadapan IPD Wangsa Maju tidak beredar.
"Ini adalah satu taktik jijik yang tidak beretika dan jelas menyalahgunakan kuasa untuk membendung hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman, kini diperluaskan kepada 8 individu yang tidak bersalah.
"Haram menegaskan bahawa tindakan pihak polis ini adalah satu pelanggaran berat terhadap prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Mahasiswa dan aktivis yang hadir di IPD Wangsa Maju hanya menjalankan hak mereka sebagai warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab untuk menunjukkan sokongan kepada rakan mereka, saudari Hani. Mereka sama sekali tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau mengancam ketenteraman awam.
"Namun, mereka kini dizalimi dan diperlakukan seperti penjenayah," kata kumpulan itu pada satu kenyataan.
Dakwaan salah guna kuasa
Adam turut mendedahkan beberapa dakwaan penyalahgunaan kuasa yang berlaku ke atas lapan mahasiswa dan aktivis yang ditahan, termasuk:
Penahanan tanpa notis
Intimidasi dan penyalahgunaan kuasa
Rakaman kenyataan tanpa mematuhi prosedur Seksyen 111
Rampasan dan pemadaman gambar
Haram menuntut siasatan segera terhadap pegawai polis yang terlibat dalam insiden ini dan menggesa rakyat Malaysia bersolidariti dengan lapan individu yang ditahan serta Hani.
Portal Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Wangsa Maju untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga laporan ini diterbitkan, status pembebasan mereka yang ditahan masih tidak jelas.