Ahli Parlimen DAP RSN Rayer menegaskan bahawa sebagai ahli parlimen yang dipilih, dia mempunyai hak untuk bersuara mengenai isu-isu kepentingan awam.
Ini berlaku selepas mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kesediaannya untuk "bertempur" dengan ahli parlimen DAP yang menimbulkan kebimbangan mengenai pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik menyampaikan ucapan di Perlis baru-baru ini.
“Sebagai ahli parlimen, adalah menjadi kewajipan saya untuk bersuara mengenai perkara-perkara kepentingan awam tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Terdapat larangan dikenakan ke atas Zakir daripada memberi ucapan di mana-mana di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh The Malay Mail pada 20 Ogos 2019.
"Bolehkah Ketua Polis Negara menjelaskan jika larangan ini masih berkuat kuasa?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 5 Feb, Rayer menimbulkan persoalan mengenai kemunculan semula Zakir, yang sebelum ini dilarang menyampaikan ceramah di negara ini.
Dia membangkitkan perkara itu berikutan laporan berita yang menyatakan Zakir baru-baru ini memberi ceramah di Perlis.
“Saya ingin bertanya kepada pihak polis, khususnya ketua polis, sama ada larangan ini masih berkuat kuasa.
“Jika laporan ini (bahawa Zakir berceramah) adalah benar, persoalan saya, mengapa Zakir tidak mematuhi larangan menyampaikan ucapan dan dakwah yang dikenakan ke atasnya?” soalnya pada sidang media di Parlimen.
Sebagai tindak balas, Asri berkata dia merasakan bahawa ahli Parlimen itu berhasrat untuk "menyambung semula pertempuran" dengannya, kerana Zakir sedang berucap pada majlis mufti itu.
“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika 'gemulah politik DAP' yang lepas menjualnya,” katanya.
'Gemulah' (arwah) politik yang dimaksudkan adalah P Ramasamy, yang bertelagah dengan Asri selepas mengaitkannya dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Dalam video di saluran YouTube rasminya semalam, Asri berkata Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dia jemput untuk majlisnya, sama seperti bagaimana dia tidak mempersoalkan ahli parlimen DAP itu apa yang dia calit di dahinya dan mengapa dia melakukannya.
Mufti itu merujuk kepada "vibhuti", yang biasanya disapu oleh penganut Hindu di dahi mereka selepas sembahyang.
Mengenai perkara itu, Rayer berkata dia menghormati Asri, sambil menambah dia tidak pun membangkitkan namanya semasa dia membuat sidang media.
Pemimpin DAP itu juga berkata adalah tidak perlu bagi Asri untuk membuat kenyataan mengenai vibhuti yang digunakan di dahinya.
"Jadi, saya tidak tahu kenapa dia bertindak balas seperti itu," tambah ahli parlimen Jelutong itu.
Rayer menegaskan dia tidak berniat mencampuri hal ehwal Islam khususnya di Perlis.
“Tetapi sebagai rakyat negara ini dan sebagai ahli parlimen, adalah penting bagi saya untuk menekankan bahawa kita mesti menegakkan kedaulatan undang-undang di negara ini tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
