Selepas banyak perdebatan, kontroversi mengenai garis panduan baru bagi umat Islam nampaknya telah reda.
Namun, di tengah-tengah ribut perbahasan yang melanda, muncul satu kisah yang indah dan menginspirasikan mengenai keharmonian antara agama dan penghormatan bersama.
Pada satu hantaran media sosial, seorang ahli akademik Barathi Selvam berkongsi satu kenangan bermakna pada majlis perkahwinannya di sebuah kuil Hindu, apabila bekas pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim hadir sebagai tetamu.
"Ketika saya bertanya kepada Dr Nasir jika beliau selesa menyerahkan 'thali' kepada saya, beliau menjawab, ‘Saya sudah biasa ke kuil sepanjang hidup saya, saya tiada masalah.’"

‘Thali’ seutas benang suci yang melambangkan ikatan perkahwinan, yang secara tradisinya diikat oleh pengantin lelaki di leher pengantin perempuan.
Barathi juga mendedahkan makna lebih mendalam di sebalik lokasi perkahwinannya, dengan berkata:
"Perkahwinan itu berlangsung di kuil yang pernah diperjuangkan oleh ayah saya dan Nasir untuk diselamatkan daripada dirobohkan, ketika ladang-ladang dipecah dan para pekerja dipaksa keluar."
Bercakap kepada Malaysiakini, Barathi yang juga merupakan anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkongsi perkahwinannya berlangsung pada tahun 2022 di sebuah kuil di Shah Alam, Selangor.
"Ayah saya, V Selvam salah seorang pengasas PSM. Beliau dan Nasir telah menjadi rakan seperjuangan selama beberapa dekad dan kenangan awal saya dipenuhi dengan persahabatan mereka.
"Saya meminta Nasir untuk menjadi orang yang menyerahkan ‘thali’ kepada saya dan bukan pendeta kuil, dan beliau dengan senang hati bersetuju," katanya.
Tindak balas pada garis panduan baru
Hantaran Barathi, yang turut disertakan dengan gambar Dr Nasir menyerahkan ‘thali’ kepadanya, dibuat sebagai reaksi terhadap pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, yang memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi acara yang melibatkan kehadiran umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan tersebut menghendaki penganjur untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa agama jika acara tersebut melibatkan orang Islam, dan majlis tersebut tidak boleh mengandungi elemen yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Pengumuman itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, dengan sesetengahnya mengecamnya sebagai dasar yang memecahbelahkan serta bertentangan dengan konsep perpaduan manakala pihak lain meminta bukan Islam agar tidak mempolemikkan isu tersebut.
Hari ini, kabinet memutuskan setiap keputusan mesti dibuat dengan mengambil kira kepentingan perpaduan nasional.
Susulan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kabinet membuat keputusan garis panduan tersebut tidak diperlukan kerana umat Islam sudah sedar akan batas mereka dalam berinteraksi di acara bukan Islam.
