Pemuda PAS Pulau Pinang tampil mempertahankan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria daripada serangan pelbagai pihak, termasuk mereka yang disifatkan sebagai 'kumpulan pro-DAP dalam PAS'.
Naib ketuanya, Muhamad Hafis Alias berkata, dia mengikuti serangan bertubi-tubi terhadap Razman susulan sikapnya yang begitu agresif menyerang DAP.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk membuat penegasan bahawa saya dan sahabat pemuda berdiri teguh bersama beliau dalam usaha menentang DAP," katanya dalam Kenyataan bertajuk ‘kami mempertahankan Razman dari kumpulan pro-DAP dalam PAS’.
Dalam kenyataannya, Muhamad Hafis membangkitkan pertembungan antara kumpulan proulama dan mereka yang digelar pro-DAP atau 'Jebon' dalam PAS suatu ketika dahulu.
"Apa yang saya bimbangi, suara ini dilihat datang daripada kumpulan yang sama, yang dahulu pernah secara senyap-senyap bersama kumpulan pro-DAP dan menyokong rancangan DAP.
"Kami daripada Penang cukup kenal orang ini kerana mereka telah mengkhianati kami sewaktu kami lawan DAP di Penang.
“Walau kami dalam parti komponen yang sama memerintah Pulau Pinang, tetapi tindakan DAP dilihat merugikan umat Islam di Pulau Pinang sehingga menimbulkan banyak pergolakan dalaman,” katanya.
Pada 27 Jan lalu, Razman memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan kumpulan YTL kerana mengaitkan pemimpin DAP itu dengan keluarga konglomerat Yeoh Tiong Lay.
Bagaimanapun, ia bukan kali pertama Razman berbuat mengakui kekhilafannya.

Pada 11 Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan pada 24 Okt tahun lalu.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Nga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Pada 2023, Razman memohon maaf secara terbuka kepada Anwar Ibrahim di mahkamah selepas mendakwa perdana menteri itu membawa agenda pro-LGBT.
Dia juga pernah diperintahkan membayar ganti rugi kepada pengerusi DAP Lim Guan Eng pada 2023 dan bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2017 selepas kalah dalam saman fitnah.
Sementara itu Muhamad Hafiz berkata kumpulan berkenaan lebih berminat untuk memfokuskan isu kalah saman membabitkan pemimpin PAS seperti Razman berbanding serangan DAP itu sendiri.
"Padahal Tuan Haji Razman berdepan dengan saman ini seorang-seorang, guna duit peribadi dan langsung tidak menyusahkan sesiapa.
"Tidak pelik jika media pro-DAP yang besar-besarkan isu kalah saman ini sebab dia DAP, tetapi tidakkah kita merasa pelik apabila media cyber trooper kita sendiri yang turut menghentam YB Tuan Haji Razman?
"Saya yang dah tahu sejarah kumpulan pro-DAP ini daripada awal, memang langsung saya tak pelik.
"Oleh itu, saya dan kawan-kawan mengisytiharkan kami mempertahankan YB Tuan Haji Razman kerana kami tahu di belakang gerakan menjatuhkan YB Tuan Haji Razman ini adalah kumpulan yang pro-DAP yang pernah ada sejarah waktu kami lawan Jebon dahulu," katanya.
