Ahli keluarga kepada 32 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh pagi ini.
Mereka menuntut kerajaan dan pihak penjara membenarkan mereka melawat serta memeriksa keadaan tahanan, yang dikatakan turut memulakan mogok lapar di dalam penjara.
Wakil kumpulan tersebut, M Logesvaran, 49, yang abang sulungnya merupakan salah seorang daripada 32 tahanan, berkata mereka dimaklumkan semalam bahawa lawatan keluarga ke penjara pada hujung minggu ini telah dibatalkan.
"Apabila saya datang ke penjara pagi ini, seorang pegawai memberitahu saya bahawa tahanan Sosma telah melancarkan mogok lapar atau apa yang mereka sebut sebagai ‘tahan lapar’."

"Kami telah minta pihak penjara untuk membenarkan sekurang-kurangnya beberapa orang daripada kami masuk bagi memeriksa keadaan ahli keluarga dan memastikan mereka selamat, tapi permintaan itu tidak dibenarkan.
"Jadi, selepas berbincang dengan ahli keluarga tahanan lain yang berkumpul di sini hari ini, kami telah memutuskan untuk turut melancarkan mogok lapar dan berkhemah di luar penjara sehingga Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara membuat keputusan," katanya ketika ditemui wartawan.
Seorang lagi ahli keluarga, Praveen Kaur, 44, berkata dia bimbang mengenai keadaan suaminya di dalam penjara.
“Kami tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam, sama ada mereka selamat atau tidak, dan sama ada para tahanan benar-benar sedang mogok lapar atau sebaliknya,” katanya.
Kumpulan seramai kira-kira 30 individu itu mula berkumpul di hadapan pintu masuk penjara - yang telah dipasang dengan kawat berduri oleh anggota keselamatan - sejak kira-kira jam 11 pagi.
Mereka dibantu oleh kumpulan hak asasi manusia, Suaram, yang menuntut kerajaan membebaskan tahanan dengan jaminan.
Pengurus program Suaram, Azura Nasron, yang turut mengiringi ahli keluarga tahanan, mengulangi gesaan kumpulan itu agar Sosma dimansuhkan kerana didakwa melanggar hak asasi tahanan.
Pegawai rujuk kepada pihak atasan
Kira-kira jam 12.45 tengah hari, seorang pegawai Jabatan Penjara bertemu peserta protes, di mana mereka mengadakan perbincangan mengenai permintaan kumpulan itu untuk menghantar wakil bagi memeriksa keadaan tahanan.
Menurut Logesvaran, pegawai tersebut memaklumkan akan menyampaikan permintaan mereka kepada pihak atasan dan berjanji untuk memaklumkan keputusan yang dibuat dalam tempoh dua jam.

Azura dalam pada itu meminta mereka yang hadir untuk terus menunggu.
"Kami akan tunggu di sini sehingga mereka kembali dengan keputusan. Walaupun ambil masa tiga hari, kita tetap akan tunggu," katanya kepada pemberita.
Logesvaran turut menyatakan pegawai tersebut mengesahkan tahanan telah memulakan mogok lapar pagi ini.
Rabu lalu, Suaram mewakili ahli keluarga tahanan terbabit mengemukakan aduan kepada Suhakam berhubung keadaan 32 tahanan tersebut.
Menurut surat aduan Suaram, kesemua individu itu ditahan polis antara Mei hingga September tahun lalu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng TR.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan Sosma.
Mereka tidak ditawarkan jaminan kerana Seksyen 13 Sosma menetapkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada individu yang didakwa di bawah undang-undang tersebut.
