Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Garis panduan: Akmal kena tanya menteri Umno, kata pemimpin PKR

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, disarankan bertanya kepada menteri-menteri Umno berhubung keputusan jemaah menteri bahawa tiada keperluan untuk garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan Islam.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajah berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam dengan jelas menyatakan tiada keperluan untuk garis panduan itu dipatuhi, sepertimana diputuskan kabinet.

"Maksudnya, pandangan dia (Anwar) bukan bersifat peribadi, sebaliknya hanya menjelaskan keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri.

"Jika Akmal masih tidak berpuas hati dengan keputusan itu, maka dia perlu bertanya kepada menteri-menteri Umno, termasuk Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi), yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Akmal berkata dia tidak bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri bahawa tiada keperluan untuk garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan Islam.

Dalam catatan di media sosial, Akmal berkata garis panduan yang disediakan bertujuan menjadi sumber rujukan.

Dia juga mengingatkan orang bukan Islam supaya tidak campur tangan dalam isu itu.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, yang berkata akan ada garis panduan baharu bagi majlis yang melibatkan umat Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, serta kunjungan di rumah ibadat bukan Islam.

Bagaimanapun, Sathia menegaskan cadangan garis panduan tersebut menimbulkan bantahan dan perdebatan awam kerana turut melibatkan bukan Islam.

"Kalau sekadar garis panduan untuk orang Islam, memang orang bukan Islam tidak akan campur tangan.

"Tetapi apabila menteri mengatakan bahawa pihak penganjur (bukan Islam) perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam, maka ia turut melibatkan bukan Islam. Oleh itu, sudah pasti pemimpin bukan Islam akan menyatakan pandangan mereka. Simple as that," katanya.

Semalam, Anwar berkata garis panduan tersebut tidak perlu kerana umat Islam di Malaysia memahami batas yang perlu dijaga ketika menghadiri acara perayaan bukan Islam.

Keputusan ini dibuat susulan kenyataan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, pada 5 Februari kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Saad Yahaya.

Na’im menyatakan garis panduan tersebut akan dimuktamadkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam mesyuarat yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari.

Mengenai garis panduan tersebut, Na’im berkata penyertaan umat Islam dalam acara seumpama itu tidak boleh disertai dengan aktiviti yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat Islam, seperti:

- Ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya;

- Persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam;

- Pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat;

- Lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf dan;

- Premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS