Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa Star, PBS membisu soal tawaran penyelesaian skandal rasuah?'
Diterbitkan:  Feb 9, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Timbalan Ketua Bersatu Sabah Affan Jumahat mempersoalkan sikap berdiam diri Star dan PBS berhubung dakwaan penyelesaian yang ditawarkan kepada ahli perniagaan yang mendedahkan skandal rasuah yang didakwa membabitkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Episod ini lebih hebat dan jelas jalan ceritanya. Beberapa buah parti politik di Sabah termasuk Parti Star dan PBS turut diheret.

"Malangnya walau sudah beberapa hari berlalu rakyat Malaysia masih belum mendengar sebarang ulasan dari mereka. Apakah tahap penglibatan Star dan PBS dalam skandal ini.

"Membisu mengundang spekulasi bahawa mereka juga sebahagian dari pelakon drama ini," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Affan merujuk kepada artikel Malaysiakini yang diterbitkan Isnin lalu, yang memetik ahli perniagaan itu sebagai mendakwa dia diminta menarik balik dakwaannya sebagai pertukaran untuk mengembalikan semula lesen carigali mineral yang dibatalkan yang dikaitkan dengan konsortiumnya.

Ahli perniagaan itu, yang mengaitkan Adun Membakut, Arifin Arif, mendakwa dia diberi kenyataan bertulis yang mengarahkannya untuk menyifatkan rasuah itu sebagai derma politik dan menyatakan bahawa dana yang sama turut diberikan kepada Adun Umno, Star dan PBS Sabah.

Affan menegaskan dakwaan membabitkan Star dan PBS dalam dakwaan tawaran penyelesaian adalah perkara yang serius.

"Apa tidaknya kedua-dua parti berkenaan adalah komponen penting dalam kerajaan GRS," katanya.

Sebelum ini, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin telah memberi amaran kepada GRS agar tidak mengheret partinya ke dalam skandal itu.

Naib presiden Bersatu dan ketua Bersatu Sabah, Ronald Kiandee, membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat pada 5 Feb, mempersoalkan sama ada peraturan berbeza digunakan ketika menyiasat anggota kerajaan.

Arifin, yang merupakan menteri negeri dan menantu kepada Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Musa Aman, menafikan dakwaan bahawa dia cuba untuk menjadi broker penyelesaian dengan ahli perniagaan itu dan telah memfailkan laporan polis terhadap artikel Malaysiakini.

Tidak sampai 24 jam kemudian, ahli perniagaan itu memfailkan laporan polis terhadap Arifin, menegaskan bahawa dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya dan menuduh Adun Membakut itu membuat laporan palsu.

Pada 5 Feb, peguam kanan Shafee Abdullah, yang mewakili ahli perniagaan itu, menyatakan bahawa anak guamnya memiliki lebih daripada setengah dozen video yang belum didedakan dan tangkapan skrin perbualan WhatsApp yang masih belum dikongsi kepada orang ramai.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada video ini melibatkan Adun dari Star dan PBS. Lapan video yang dikeluarkan setakat ini mengaitkan Adun daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Hajiji, yang juga didakwa terlibat dalam skandal itu, menafikan dakwaan rasuah terhadap kerajaan negerinya, menuduh ahli perniagaan itu bersubahat dengan individu yang mempunyai kepentingan untuk menggulingkan pentadbirannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS