Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HRD Corp: Isu dibangkitkan PAC sudah ditangani, kata menteri

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata isu yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung HRD Corp telah ditangani.

Sim memberitahu media bahawa kementeriannya juga sedang menunggu hasil siasatan SPRM terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corup Shahul Hameed Dawood yang kembali bertugas, walaupun siasatan berhubung dakwaan salah urus masih berjalan.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng sebelum ini mempersoalkan sama ada ini bermakna penemuan PAC telah diabaikan.

Sim, bagaimanapun, menolak dakwaan ini.

"Laporan PAC, adakah dia suruh sesiapa dihentikan? PAC dah sebenarnya bagi laporan dia. Dan kita kata dah tutup kita punya itu isu-isu yang berbangkit itu.

"Tapi yang paling penting, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Dan dalam hal ini, pihak berkuasa ialah SPRM. Kita dah serahkan. Jadi kita tunggulah laporan SPRM," katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina HRD Corp di Puchong hari ini.

Shahul turut hadir pada majlis tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Shahul Hameed Dawood

Sim mengesahkan Shahul kembali bekerja pada November tahun lalu, selepas bercuti sejak Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Bayan Baru dan ahli PAC Sim Tze Tzin, menyatakan bahawa SPRM masih menyiasat isu berkaitan pengurusan HRD Corp.

Tahun lepas, HRD Corp mendapat perhatian selepas Jabatan Ketua Audit Negara mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk syarikat itu kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan berikutan laporan auditnya yang gagal.

Sebagai tindak balas, PAC mencadangkan kementerian melantik perunding bebas untuk menjalankan audit forensik program latihan HRD Corp.

Mengenai perkara berasingan, Sim berkata kerajaan terbuka untuk mendengar cadangan berhubung kekurangan buruh dalam industri Makanan dan Minuman (F&B).

Ini selepas Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahir Ali Taib Khan, yang berkata persatuan itu tidak mempunyai bantahan untuk mengambil pelarian Rohingya bekerja untuk menangani kekurangan buruh—dengan syarat kerajaan membenarkannya.

"Sesiapa sahaja boleh memberi cadangan, tetapi kita perlu mempertimbangkan kesesuaiannya," kata Sim.

Katanya, undang-undang dan dasar sedia ada perlu dipertimbangkan.

Pada masa ini kerajaan tidak secara rasmi membenarkan pelarian bekerja, walaupun telah meneliti perkara itu beberapa kali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS