Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin sayap kanan berhimpun di Madrid, bawa slogan anti-Islam
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 8:50 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Pemimpin parti-parti sayap kanan Eropah berkumpul di Madrid pada hujung minggu Sabtu dalam satu perhimpunan besar yang dianjurkan oleh blok Partriots for Europe

Mereka adalah blok ketiga terbesar di Parlimen Eropah.

Perhimpunan itu dimeriahkan oleh kehadiran Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, serta pemimpin parti sayap kanan Perancis, Marine Le Pen yang menggesa agar Kesatuan Eropah (EU) mengubah haluan secara drastik.

Selain memuji kemenangan dan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, parti pelampau kanan itu mahu "menawan semula Eropah" seakan-akan tentera Salib merampas kerajaan Islam Andalusia.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan kerana ada juga yang membawa slogan anti-Islam.

Laporan Reuters menyebut Orban, dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,000 penyokong yang mengibarkan bendera Sepanyol, menegaskan bahawa golongan nasionalis kini berada dalam arus perdana politik Eropah.

“Semalam kami dianggap sebagai golongan heretik (fahaman menyeleweng), tetapi hari ini kami adalah arus perdana...

“Kami adalah masa depan,” katanya.

Perhimpunan ini turut disertai oleh pemimpin berhaluan kanan lain seperti Geert Wilders dari Belanda, Matteo Salvini dari Itali, dan bekas Perdana Menteri Czech, Andrej Babis.

Semua mereka menyatakan sokongan terhadap Trump, yang mereka anggap sebagai pencetus perubahan global dengan “tornadonya”.

Sebelum ini, kurang dua minggu selepas mengambil alih jawatan presiden AS, Trump mengemukakan cadangan agar negara itu ‘mengambil alih’ Gaza.

Dia turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu dan ditempatkan ke negara Asia Barat lain.

Seruan "Reconquista" dan kritikan terhadap EU

Dalam perhimpunan Sabtu lalu, para pemimpin sayap kanan Eropah turut melontarkan kecaman terhadap dasar EU yang mereka anggap dipenuhi dengan “fanatisme iklim”, “imigrasi haram” dan “peraturan berlebihan”.

Beberapa ucapan turut menyeru kepada "Reconquista", merujuk kepada penaklukan semula Semenanjung Iberia oleh kerajaan Kristian daripada pemerintahan Islam pada zaman pertengahan.

Perhimpunan ini turut menyaksikan insiden gangguan apabila seorang aktivis wanita dari kumpulan feminis Femen muncul tanpa pakaian sambil melaungkan slogan menentang fahaman fasisme sebelum dikeluarkan dari lokasi.

Patriots for Europe dan matlamatnya

Blok Patriots for Europe ditubuhkan selepas pilihan raya Eropah pada Mei 2024 dan kini dianggotai oleh 86 ahli Parlimen Eropah (MEP) dari 14 negara. Ia mewakili sekitar 19 juta undi.

Madrid dipilih sebagai lokasi perhimpunan rasmi pertama bagi blok ini untuk memberi penghormatan kepada presidennya, Santiago Abascal, yang juga pemimpin parti sayap kanan Sepanyol, Vox.

Walaupun Patriots for Europe berusaha menyatukan gerakan konservatif nasionalis di seluruh Eropah, namun beberapa parti berpengaruh dalam blok itu seperti Brothers of Italy pimpinan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, serta Alternative for Germany dan Law and Justice Poland, enggan menyertainya.

Reaksi parti pemerintah Sepanyol

Parti Sosialis Sepanyol yang kini memerintah mengutuk perhimpunan tersebut dan menyifatkannya sebagai “perhimpunan golongan ekstrem”.

Dalam satu kenyataan, mereka menegaskan, "Mereka tidak akan berjaya menegakkan pandangan dunia hitam-putih mereka di negara ini."

Vox, yang menjadi tuan rumah perhimpunan ini, semakin mendapat sokongan dalam beberapa tinjauan pendapat kebelakangan ini.

Menurut Pusat Kajian Sosiologi (CIS), parti tersebut meraih sokongan tertinggi dalam kalangan lelaki muda, anggota tentera dan penguatkuasa undang-undang.

Dengan perkembangan ini, pengaruh sayap kanan di Eropah terus meningkat, menandakan kemungkinan perubahan besar dalam landskap politik EU menjelang pilihan raya akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS