Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan KPN lesu - Saya anjur lebih 700 program perpaduan, kata Aaron
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 10:54 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, mempertahankan keperluan dirinya untuk terus memegang jawatan dan kekal dalam perkhidmatan yang dibiayai oleh pembayar cukai.

Ini susulan gesaan seorang ahli akademik agar kementeriannya dimansuhkan atas dakwaan prestasi yang lesu dan longlai dalam memperkukuhkan perpaduan negara.

Dalam satu hantaran di platform X pada Jumaat lalu, James Chin, pensyarah Pengajian Asia di Universiti Tasmania, mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh Aaron dan kementeriannya sejak tahun 2022.

James Chin

“Kelihatan setiap kali ada isu, Kementerian Perpaduan Negara tidak kelihatan sehinggalah selepas menteri-menteri lain terlebih dahulu menangani masalah tersebut,” dakwa Chin.

Dia merujuk beberapa insiden seperti kontroversi KK Mart, isu penukaran agama, serangan bom petrol ke atas rumah ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham, serta reaksi balas terhadap sambutan Krismas anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Dalam kes khianat api terhadap rumah Ngeh pada 10 Januari tahun lalu, Aaron mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama mengecam tindakan itu sebagai serangan terhadap perpaduan dan keharmonian negara.

Bagaimanapun, mengenai kontroversi stokin berkalimah n Allah yang dijual di KK Mart, dia pada mulanya enggan diheret atau mengulas atas alasan tidak mahu bercakap tentang isu perpecahan. Dia hanya membuka mulut   selepas menerima kritikan kerana keengganannya memberikan komen.

Semasa kontroversi sandwic ham, dia hanya bersuara menentang tindakan vandalisme terhadap sebuah cawangan KK Mart di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Aaron juga terus membungkam ketika PAS dan pihak konservatif lain “menyerang” Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kerana menganjurkan sambutan Krismas di kementeriannya.

Perlu atau tidak Kementerian Perpaduan?

Chin turut berhujah bahawa jika Kementerian Perpaduan Negara benar-benar berkesan, hubungan antara kaum dan agama seharusnya tidak menjadi renggang sebaliknya bertambah baik.

"Jika kementerian ini berkesan, bukankah hubungan etnik dan agama sepatutnya semakin baik dan bukannya semakin merosot?" katanya.

"Kecuali, di Malaysia, ‘perpaduan nasional’ bermaksud mematuhi peraturan satu kaum dan satu agama. Jika begitu, maka Kementerian Perpaduan memang satu kejayaan!" sindirnya.

Justeru, Chin mencadangkan agar kementerian itu dimansuhkan dan dana yang dapat dijimatkan disalurkan sebagai geran kepada agama bukan Islam.

Aaron pertahan peranan KPN

Dalam satu kenyataan malam tadi, Aaron mempertahankan relevansi kementeriannya.

“Saya ingin menegaskan bahawa pengurusan isu perpaduan negara sentiasa diberikan tumpuan yang serius oleh saya dan pihak Kementerian.

Berikut merupakan antara pencapaian, dan usaha diambil oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam mengurus isu perpaduan,” katanya.

Dia seterusnya menjelaskan bahawa sepanjang tahun 2024, kementeriannya  telah menganjurkan 730 program berkaitan perpaduan, kenegaraan, dan komuniti rahmah yang bertujuan meningkatkan interaksi antara kaum dan agama.

Tahun ini, kementerian akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan, yang terdiri daripada wakil-wakil Kementerian Perpaduan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, serta polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan beberapa agensi lain.

Selain itu, kementeriannya juga akan menubuhkan pusat pelaporan komuniti serta dashboard analitik bagi memantau dan menangani isu perpaduan dengan lebih berkesan.

Aaron turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai peranan kementeriannya atau membincangkan isu perpaduan di negara ini.

“Perpaduan adalah tanggungjawab semua pihak, bukan hanya kerajaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS