Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker Tunisia dipenjara 22 tahun, Nurul Izzah bersuara
Diterbitkan:  Feb 10, 2025 4:54 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyeru masyarakat antarabangsa mengecam hukuman penjara 22 tahun terhadap Sheikh Rached Ghannouchi, 83, speaker Parlimen Tunisia dan pemimpin Parti Ennahda.

Menyifatkan hukuman itu bermotif politik dan kejam, Nurul Izzah berkata komuniti antarabangsa mesti segera bertindak terhadap serangan yang semakin memuncak terhadap keadilan dan demokrasi di Tunisia di bawah pemerintahan Presiden Kais Saied.

“Hukuman ini, yang dijatuhkan di tengah-tengah krisis sosioekonomi Tunisia yang semakin buruk, merupakan satu penyalahgunaan kuasa kehakiman yang jelas dan usaha sengaja untuk menghancurkan penentangan serta aspirasi demokratik.

“Perbicaraan dalam kes yang dikenali sebagai ‘Kes Instalingo’ ini dipenuhi dengan pelanggaran prosedur, termasuk penafian hak untuk mendapatkan pembelaan, tuduhan tidak berasas, serta ketiadaan bukti yang kukuh,” katanya, selari dengan kritikan yang dilaporkan dari dalam Tunisia.

“Tindakan sebegini jelas melanggar standard hak asasi manusia antarabangsa serta prinsip proses perundangan yang adil, mendedahkan sebuah rejim yang bertekad untuk membungkam pembangkang di bawah topeng prosiding undang-undang.

“Kami berdiri teguh di belakang keputusan Sheikh Rached untuk memboikot perbicaraan yang pincang ini,” kata Nurul Izzah.

Laporan menyebut pada 5 Februari, sebuah mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman penjara ke atas 41 individu, termasuk Sheikh Rached, dengan tempoh hukuman antara lima hingga 54 tahun.

Kes ini bermula pada Oktober 2021, apabila pihak berkuasa menahan pekerja Instalingo — sebuah firma penghasilan kandungan digital — dan menyiasat wartawan, penulis blog, ahli perniagaan, serta ahli politik atas tuduhan “menghina Presiden Kais Saied,” “berkonspirasi menentang keselamatan negara,” dan “melakukan pengintipan.”

Ennahda dilaporkan menafikan tuduhan tersebut, menjelaskan Instalingo “sebuah syarikat kandungan media yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk kerja-kerja berkaitan kempen pilihan raya pada 2019 - tetapi bukan untuk calon Ennahda.”

Nurul Izzah, yang memuji keberanian rakyat Tunisia dalam mencetuskan kebangkitan Arab Spring pada 2011, berkata mereka berhak mendapatkan masa depan yang berlandaskan cita-cita revolusi mereka iaitu kebebasan, maruah dan keadilan.

“Sebaliknya, mereka kini berdepan kemunduran ke arah pemerintahan autoritarian, dengan mahkamah dijadikan senjata untuk menghukum pengkritik dan menyekat kepelbagaian politik.

“Tindakan ini bukan sahaja mengkhianati komitmen perlembagaan Tunisia tetapi juga mengancam kemajuan demokrasi yang masih rapuh di rantau ini,” tegasnya sambil mengulangi solidariti PKR bersama Sheikh Rached, Parti Ennahda dan seluruh rakyat Tunisia yang menentang kezaliman.

Beri tekanan Tunisia

“Kami mengecam pemanipulasian badan kehakiman untuk kepentingan politik dan menuntut pembebasan segera semua tahanan politik yang ditahan secara tidak adil.

“Komuniti antarabangsa, termasuk institusi multilateral, organisasi hak asasi manusiadan kerajaan demokratik mesti menuntut pertanggungjawaban atas pelanggaran ini serta memberi tekanan kepada rejim Tunisia untuk menghentikan penindasan mereka,” katanya.

Selain Sheikh Rached, individu lain yang turut disabitkan dalam kes yang sama termasuk bekas Perdana Menteri Hichem Mechichi yang dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan wartawan Chadha Hadj Mbarek, yang dihukum penjara lima tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS