Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yob Talang, Yong Shida berjaya dipindah dari kampung orang Asli

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya memindahkan dua ekor gajah liar yang dipercayai memusnahkan tanaman dan rumah penduduk di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di Sungai SIput.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Terengganu (PKGT) Sungai Deka Mohd Happy Mohd Noor berkata gajah jantan dan betina berusia 20 dan 25 tahun dengan berat dianggarkan lebih dua tan itu ditangkap pada 5 Feb lepas, kira-kira 10.30 pagi.

Beliau berkata operasi pemindahan gajah yang dinamakan sebagai Yob Talang dan Yong Shida itu juga melibatkan kira-kira 20 anggota pasukan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Perak, Johor serta PKGT Sungai Deka.

“Operasi ini turut dibantu oleh dua gajah denak (betina) Suria dan Indah yang dibawa dari PKGT Sungai Deka. Untuk proses pemindahan ini juga kita lakukan dalam dua fasa.

“Fasa pertama pemindahan melibatkan Yong Shida yang telah kita lakukan pada Sabtu (8 Feb) manakala fasa kedua melibatkan Yob Talang yang kita lakukan pada hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di Sungai Siput hari ini.

Sebelum ini, tular video berdurasi 50 saat memaparkan rumah seorang penduduk Orang Asli musnah akibat serangan haiwan liar di kampung berkenaan.

Penduduk turut mendakwa kerugian sekitar RM20,000 akibat kerosakan perabot dan peralatan elektrik.

Mohd Happy berkata kedua-dua gajah yang berada dalam keadaan sihat itu dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik.

Beliau turut menasihati penduduk agar tidak bertindak sendiri atau melakukan provokasi terhadap haiwan liar itu kerana gajah boleh bertindak agresif sekali gus mengancam nyawa.

“Paling utama, pastikan kalau ada kebun atau ladang, ia berada dalam keadaan bersih kerana jika tempat itu semak samun, kemungkinan besar kawanan gajah ini akan datang.

“Jika mengesan kehadiran gajah-gajah liar ini di mana-mana lokasi, segera laporkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS