Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Najib teruja beritahu saya janji bantuan kewangan dari Arab Saudi'

Seorang bekas duta Malaysia ke Arab Saudi menceritakan kembali bagaimana bekas perdana menteri, Najib Razak begitu teruja apabila memberitahunya mengenai janji almarhum Raja Abdullah untuk memberikan bantuan kewangan pada 2010.

Profesor Syed Omar Al-Saggaf memberitahu demikian kepada Mahkamah Tinggi di Putrajaya petang ini ketika perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion membabitkan Najib.

Saksi pembelaan yang berusia 81 tahun itu memberi keterangan bahawa berbilion ringgit yang masuk dan keluar dari akaun bank Malaysia milik tertuduh bukan daripada 1MDB tetapi merupakan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Ketika pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar, Syed Omar mengimbas kembali pertemuan Najib dan Raja Abdullah di istana diraja di Arab Saudi pada Januari 2010.

Syed Omar berkata dia adalah sebahagian daripada delegasi Malaysia yang mengiringi Najib ke kerajaan Timur Tengah ketika itu, dan dia berdiri jauh ketika Najib dan Raja Abdullah sedang berbincang.

Kamal: Anda kata anda dimaklumkan oleh Najib (tentang janji bantuan kewangan Raja Abdullah)?

Syed Omar: (Selepas pertemuan Najib dan Raja Abdullah), dia (Najib) kelihatan teruja apabila dia datang berjumpa saya dan kata 'kita dapat bantuan kewangan'.

Apabila pendakwa bertanya sama ada perdana menteri ketika itu benar-benar menyebut ia adalah bantuan kewangan, saksi pembelaan itu menjelaskan Najib berkata ia adalah bantuan kewangan tetapi tidak memberi butiran lanjut kerana perbualan mereka singkat.

"Kita sudah berjaya," ujar Syed Omar menyebut semula kata-kata Najib semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah.

Bagaimanapun semasa diasak oleh Kamal, saksi pembelaan itu mengakui dia tidak mendengar apa yang sebenarnya dibincangkan antara Najib dan Raja Abdullah kerana dia berada agak jauh dari mereka semasa pertemuan tersebut.

Syed Omar turut berkata dia tidak pas dalam bentuk apakah janji bantuan kewangan tersebut akan disalurkan kepada Najib.

Perbicaraan akan bersambung pada Rabu ini.

Baru-baru ini, Najib menamatkan prosising pembelaan selepas 26 hari membentangkan kenyataan saksinya.

Najib diperintah bela diri

Pada 30 Okt, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana milik 1MDB.

Hakim Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan kukuh kira-kira 50 orang saksi.

Bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada 2018 dan perbicaraan bermula pada tahun berikutnya. Peringkat pendakwaan berlangsung selama enam tahun.

Sepanjang perbicaraan, Najib bertegas bahawa dia tidak tahu atau terlibat dalam sebarang salah laku dalam 1MDB, dan segala penyelewengan dalam syarikat itu didalangi sepenuhnya oleh ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho (Jho Low), serta pengurusan 1MDB.

Tertuduh juga mempertahankan bahawa dia diberitahu wang yang dimasukkan ke akaunnya adalah sumbangan politik daripada Arab Saudi, seperti yang dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah dalam pertemuan pada 2010.

Ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai Terengganu Investment Authority, dana milik kerajaan negeri itu kemudiannya dipindahkan kepada kerajaan persekutuan pada tahun berikutnya dan dijenamakan semula sebagai 1MDB.

Dana kekayaan berdaulat itu ditubuhkan dengan tujuan untuk memastikan pembangunan mampan jangka panjang, selain menjaga kebajikan ekonomi rakyat Malaysia.

Najib diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 bagi kes jenayah berasingan melibatkan tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.

SRC kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). MOF Inc juga memiliki sepenuhnya 1MDB.

Syed Omar juga pernah memberi keterangan bagi pihak pembelaan dalam perbicaraan kes SRC membabitkan Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS