Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Taman Desa bantah penjualan tanah rizab polis
Diterbitkan:  Feb 11, 2025 3:45 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Kira-kira 180 penduduk kawasan perumahan yang bernaung di bawah Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA) tampil menggesa kerajaan membatalkan penjualan tanah rizab polis di Lot 54780 yang diperuntukkan bagi kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka berkumpul dan menyatakan bantahan dalam protes aman yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Desa, Seputeh, pagi tadi.

Dalam kenyataan kepada media, TDRA menjelaskan jawapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Parlimen menyatakan PDRM semenangnya mempunyai rancangan membangunkan Balai Polis Brickfields di Lot 54780, dan lot tersebut juga diklasifikasikan sebagai lot tanah rizab polis di PTKL 2020 dan PTKL 2040.

“Justeru, lot tersebut harus dikekalkan untuk pembinaan balai polis dan bukannya dijual untuk tujuan pembangunan kondominium.

“TDRA memohon jasa baik kerajaan untuk membatalkan penjualan tanah rizab balai polis tersebut agar rancangan asal KDN dan PDRM dapat dijalankan,” kata TDRA.

Pada Dis lalu, perkara tersebut dibangkitkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad yang mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab menyerahkan pemilikan tanah rizab untuk balai polis di Taman Desa kepada pemaju.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan itu berkata ia menjadi persoalan selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mendedahkan KDN sendiri tidak bersetuju tanah tersebut diserahkan kepada pemaju dan diberikan tanah gantian.

Kata Khalid, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkenaan isu itu juga dilihat mengelirukan.

Sementara itu penduduk turut mengemukakan justifikasi bagi menunjukkan keperluan membina sebuah balai polis demi keselamatan mereka berbanding membina lebih banyak kawasan perumahan.

TDRA berkata, mengikut data banci penduduk 2020, penduduk Taman Desa berjumlah 36,029 orang dan sejak tahun 2018, terdapat 11 projek pembangunan kondominium dan rumah mampu milik yang mempunyai 8,299 unit telah diluluskan/sedang dibina di Taman Desa.

“Kami menjangka jumlah penduduk di Taman Desa akan mencecah 70,000 orang dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

“Buat masa ini, Taman Desa dan kawasan sekitarnya kini hanya dikawal selia oleh sebuah balai polis yang terletak di tepi jalan di Batu 3, Jalan Klang Lama dan sebuah pondok polis di Taman Danau Desa.

“Dengan pertambahan penduduk yang mendadak, balai polis baru dengan fasiliti yang lengkap dan boleh menampung lebih anggota polis wajar dibina untuk menjaga keselamatan penduduk di Taman Desa,” kata mereka lagi.

TDRA yang mewakili 40 kawasan perumahan di kawasan itu turut menegaskan betapa pemberimilikan tanah berkenaan kepada pemaju adalah amat tidak wajar

Mereka mendakwa, kawasan tersebut sudah terlalu padat dan tepu dengan projek perumahan yang berkepadatan tinggi.

“Maka kami, persatuan- persatuan penduduk di Taman Desa menandatangani surat petisyen ini memohon dan merayu agar tujuan guna tanah asal Lot 54780 dikekalkan sebagai tanah rizab balai polis supaya KDN dan PDRM dapat membina balai polis di lot tersebut.

“Kami berharap kerajaan mendengar keluhan dan bantahan penduduk-penduduk di Taman Desa dan mengembalikan tanah rizab polis kepada kami demi kelestarian dan kesejahteraan penduduk,” kata TDRA.

Untuk rekod tanah tersebut seluas 0.86 ekar dan didakwa dijual untuk tujuan pembinaan kondominium.

“Lot tanah ini dikelilingi dengan projek perumahan yang berkepadatan tinggi, termasuk Kensho Residence yang setinggi 40 tingkat yang masih dalam pembinaan, selain empat buah kondominium tinggi di iaitu kondominium Danau Permai, kondominium Desa Impian, kondominium Desa Idaman dan Pusat Perniagaan Danau Desa,” tambah TDRA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS