Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Kesihatan kini menyokong keputusan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menaikkan yurannya awal bulan ini.
Ia sebelum ini meminta penjelasan berhubung keputusan hospital itu.

“Kenaikkan caj adalah untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada pesakit dan cajnya lebih murah daripada hospital swasta.
“Bagi pesakit B40 dan ke bawah dan tidak berkemampuan boleh menggunakan MySalam.
“Juga boleh di rujuk kepada Unit Taksiran, Jabatan Kewangan PPUM dan Jabatan Kerja Sosial untuk bantuan,” kata Pengerusi PSSC Kesihatan Suhaizan Kaiat kepada Malaysiakini hari ini.
Pada 17 Jan lalu, Suhaizan menggesa PPUM dan Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan kenaikan yuran itu.
“PPUM berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Saya minta penjelasan daripada menterinya (Zambry Abdul Kadir).
“Kenaikan kos rawatan di PPUM tidak memberi manfaat kepada pesakit terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya ketika itu.
Kos meningkat
Pada 3 Januari lalu, PPUM mengumumkan kenaikan sehingga 70 peratus.
Ini termasuk menaikkan yuran wad sebanyak 60 peratus, daripada RM120 kepada RM300.

Yuran rawatan susulan di klinik pakar juga dinaikkan daripada RM15 kepada RM50, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus.
Sehari kemudian, PPUM mempertahankan keputusannya, memetik kos yang semakin meningkat - terutamanya dalam mendapatkan teknologi perubatan canggih, bahan pakai buang, bekalan perubatan dan operasi.
Pada 16 Januari, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas keputusan PPUM, dengan berkata kenaikan harga sepatutnya dilakukan secara beransur-ansur.

“Caj untuk perundingan pakar, kemasukan wad serta caj pendahuluan untuk prosedur pakar dan kemasukan wad penjagaan kritikal mungkin tidak mampu untuk kumpulan pesakit ini.
“Pesakit daripada kumpulan berpendapatan B40 masih perlu diberi subsidi oleh kerajaan mengikut dasar semasa di semua kemudahan penjagaan kesihatan awam,” kata Presiden MMA Dr Kalwinder Singh Khaira.
