Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Raja Abdullah akrab macam anak dan bapa - Jamil Khir

BICARA 1MDB | Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah dan bekas perdana menteri, Najib Razak mempunyai hubungan yang rapat seperti bapa dan anak.

Bekas menteri agama Jamil Khir Baharom memberitahu Mahkamah Tinggi Putrajaya mengenai apa yang diperhatikannya semasa pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu di Riyadh, Arab Saudi, pada 11 Januari 2010.

Dalam menyokong pembelaan Najib bahawa dia dijanjikan sumbangan politik, Jamil memberi keterangan dia sebahagian daripada delegasi Malaysia yang mengiringi Najib ke Arab Saudi 15 tahun lalu.

"Selain daripada apa yang saya dengar, iaitu Raja Abdullah menyatakan hasrat untuk memberi derma peribadi kepada Najib, saya melihat sendiri keakraban mereka semasa perbincangan berlangsung.

Bekas menteri agama Jamil Khir Baharom.

"Sebagai contoh, sebelum mereka berjalan ke tengah Dewan Mesyuarat (di istana diraja Saudi) untuk berbincang, saya melihat Raja Abdullah memegang tangan Najib sambil menuju ke tengah dewan bersama-sama.

"Saya menganggap bahawa berdasarkan cara mereka berjalan, berbual, dan berinteraksi, ia kelihatan seperti hubungan antara seorang bapa dengan anaknya," kata Jamil sebagai saksi pembelaan Najib dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Najib menegaskan dia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam sebarang salah laku di dalam syarikat pelaburan Malaysia, 1MDB dan semua penyelewengan dilakukan sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), serta anggota pengurusan 1MDB.

Bekas pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkenaan mendakwa dia difahamkan dana yang masuk dan keluar dari akaun bank peribadinya itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Najib diarah bela diri

Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM2.27 bilion dari 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan kekuatan keterangan kira-kira 50 saksi.

Bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada tahun 2018 dan perbicaraan bermula pada tahun berikutnya.

Perbicaraan kes peringkat pendakwaan berlangsung selama enam tahun.

Antara awal Disember tahun lalu dan penghujung Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi dalam usaha untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 dalam kes jenayah berasingan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Kemudiannya, SRC International menjadi milik penuh MOF Inc, yang juga memiliki sepenuhnya 1MDB.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS