Ketua Pemuda Warisan, Terrence Au menegur Ketua Pemuda DAP Sabah, Chan Loong Wei kerana gagal menangani isu penting—skandal rasuah yang melibatkan kerajaan negeri.
Kenyataan Au ini sebagai maklum balas terhadap kenyataan Chan yang menonjolkan sumbangan DAP di Sabah selepas dicabar Pemuda Warisan untuk menunjukkan impak parti itu di negeri tersebut.
Namun, Au menegaskan Chan mengelak menjawab soalan mengenai sikap membisu DAP dalam skandal rasuah yang masih belum dijawab dalam penjelasannya.
"Mengapa Chan mengelak daripada menjawab soalan saya mengenai skandal rasuah?

"Amat menyedihkan apabila DAP, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan GRS, gagal menangani krisis rasuah yang berleluasa di negeri kita.
"Parti ini terus berdiam diri dan tidak menyatakan pendirian mereka.
"Mengapa parti ini memilih untuk membisu dalam perkara yang begitu serius? Sikap diam diri ini berbicara banyak perkara," katanya dalam satu kenyataan.
Au merujuk beberapa video yang dikeluarkan oleh seorang ahli perniagaan, yang mendakwa dia telah merasuah beberapa Adun Sabah sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral di negeri ini.

Dalam mengulas kenyataan balas Chan itu, pemimpin Pemuda Warisan itu berkata dia menyoal sumbangan DAP Sabah dan bukannya parti induk mereka di Kuala Lumpur.
"Ketua Pemuda DAP Sabah dengan bangganya menunjukkan peruntukan yang diumumkan di bawah kepimpinan anggota DAP dari Semenanjung.
“Namun, perlu diingat bahawa ini hanyalah pengumuman—sumbangan yang disebut oleh Chan masih belum membawa manfaat ketara atau diterjemahkan ke dalam penambahbaikan sebenar untuk masyarakat Sabah.
"Chan memetik peruntukan sebanyak RM572 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau.

"Namun, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dengan 64,507 pergerakan pesawat kini telah mengatasi KKIA dengan 63,822 pergerakan, menjadikannya lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini pada tahun 2024.
"KKIA sebelum ini memegang kedudukan sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selama beberapa dekad," tambahnya.
Au turut mengkritik dakwaan Chan bahawa sektor pembuatan di Sabah mengalami pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus di bawah kepimpinan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe.
"Kalau begitu, mengapa kadar pengangguran di Sabah yang tertinggi di negara ini, iaitu 7.7 peratus bagi suku keempat tahun 2024, sedangkan kadar nasional jauh lebih rendah? Ini bukan sekadar angka—ini realiti tentang kemajuan 'palsu' dan kegagalan kerajaan GRS."
"Apa yang disebut oleh Chan semuanya datang dari Semenanjung dan bukannya dari DAP Sabah sendiri.
"Mungkin DAP Sabah tidak mempunyai banyak sumbangan. Tiada pilihan lain, Chan terpaksa mengambil kredit daripada kerajaan persekutuan," tambahnya.
Semalam, Ketua Pemuda DAP Sabah berkata fakta sudah cukup menjelaskan segalanya.
"Di bawah kepimpinan menteri-menteri DAP, kita telah melihat peruntukan persekutuan yang signifikan dan kemajuan dasar yang memberi manfaat kepada Sabah," katanya.
