Bersatu Sabah mempertikaikan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membasmi rasuah berikutan amaran Transparency International Malaysia (TI-M) bahawa skandal baru-baru ini di Sabah kemungkinan memberi kesan kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun depan.
Timbalan Ketua Bersatu Sabah Muhammad Affan Jumahat berkata, empat bulan telah berlalu sejak dakwaan rasuah berkaitan lesen carigali mineral didedahkan.
“Kegagalan kerajaan pimpinan Anwar mengambil tindakan tegas dari segi politik mahu pun perundangan walaupun sudah empat bulan skandal ini didedahkan, dengan mengheret segera Adun terlibat ke mahkamah, bukan sahaja memberikan mesej yang salah kepada rakyat tetapi membuktikan ketegasan beliau dalam memerangi rasuah selama ini cumalah lakonan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Selama lebih dua dekad, Anwar dan Pakatan Harapan (PH) menggambarkan diri mereka sebagai juara reformasi, dengan antirasuah menjadi teras platform politik mereka.
Sejak zaman sebagai pengkritik lantang terhadap kerajaan, Anwar secara konsisten mengutuk rasuah sebagai penghalang utama kepada kemajuan Malaysia. Dia sering membingkai perjuangan politiknya sebagai perjuangan menentang penyalahgunaan kuasa.
Semalam, TI-M mendedahkan bahawa kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 kekal di tempat ke-57, daripada 180 negara, selepas sekali lagi mencatatkan 50 mata.
TI-M percaya bahawa skor itu disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk pengurangan hukuman dan bilangan tinggi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) untuk kes berprofil tinggi.
Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata skandal Sabah, yang terbongkar menjelang penghujung tahun lepas, mungkin tidak diambil kira dalam CPI 2024 yang baru dikeluarkan.
“Kemungkinan besar tidak, kerana ini berlaku pada penghujung tahun (2024). Biasanya mereka (penyelidik CPI) akan menyatukan data pada bulan Ogos atau September, jadi mungkin ia tidak diambil kira.
"Tetapi ia boleh diambil kira pada 2025 kerana persepsinya," tambahnya.
Pada 25 Jan, SPRM mengumumkan telah menyelesaikan dua siasatan berkaitan skandal Sabah.
Minggu lalu, suruhanjaya itu terpaksa menyiasat sudut baharu selepas pemberi maklumat mendakwa terdapat dakwaan tawaran untuk menyelesaikan perkara itu dan mengaitkan Adun Membakut Arifin Arif.
Arifin, yang merupakan menantu kepada Tuan Yang Terutama Sabah, Musa Aman, telah menafikan dakwaan itu.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menafikan dakwaan rasuah sebagai cubaan memburukkan pentadbirannya, mencadangkan pemberi maklumat mungkin bersekongkol dengan individu yang mengejar kepentingan politik.
