Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN nafi pengarah Suaram, tegaskan tiada tangkapan
Diterbitkan:  Feb 12, 2025 9:50 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan sebarang tangkapan terhadap kumpulan yang menyerahkan memorandum di ibu pejabatnya pada Isnin, sekali gus menyokong dakwaan polis tentang kejadian.

Ini berlaku selepas Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy menegaskan polis telah menahannya seketika, yang kemudian dinafikan polis dengan mendakwa mereka hanya mengambil keterangan Sevan.

“Pihak KDN ingin menegaskan bahawa peserta penyerahan memorandum telah dipanggil hanya bertujuan untuk memberikan keterangan polis susulan daripada laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan selari dengan Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, 1959 (Akta 298).

"Laporan polis ini ialah tatacara lazim (SOP) seandainya ada sebarang insiden yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan untuk masuk ke premis Kompleks Setia Perkasa, KDN.

“Pihak polis juga telah menerangkan perkara ini seperti kenyataan media mereka, di mana beberapa orang peserta telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan laporan yang dibuat. Tiada tangkapan yang telah dibuat," kata KDN dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Sevan dan pengurus program Suaram Azura Nasron mengiringi ahli keluarga 32 tahanan yang ingin bertemu wakil KDN, dikatakan tanpa pas. Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Suaram mendakwa pegawai dari ibu pejabat polis daerah Putrajaya datang ke pejabatnya pada sebelah petang.

Mereka mendakwa polis pada mulanya mendakwa mahu memberikan Sevan dan Azura dengan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil mereka disoal siasat, tetapi sebaliknya mahu menangkap mereka.

Bagaimanapun, Azura tidak hadir kerana sedang bercuti, dan hanya Sevan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya selama kira-kira sejam disoal siasat, sebelum dibebaskan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Aidi Sham Mohamed sebelum ini menafikan Sevan ditahan, dan memberitahu Malaysiakini mereka hanya merakam kenyataan Sevan.

Sevan kemudian menegaskan bahawa pegawai yang membuat tangkapan telah mengesahkan dia ditahan.

“Pada mulanya pegawai itu berkata mereka hanya mahu mengambil keterangan saya tetapi apabila saya bertanya sama ada ia boleh dilakukan pada hari lain, pegawai itu berkata tidak.

"Dan apabila saya bertanya sama ada saya ditahan, dia berkata ya dan saya dibawa ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya dengan kenderaan polis," katanya kepada Malaysiakini.

Beberapa pihak termasuk kumpulan masyarakat sivil, Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng dan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, mengecam tindakan polis sebagai intimidasi dan gangguan terhadap seorang pembela hak asasi manusia.

Sementara itu, video yang disiarkan secara langsung oleh Suaram di media sosial semasa kejadian itu kelihatan menyokong dakwaan Sevan, apabila seorang pegawai berpakaian biasa kedengaran menjawab secara afirmatif apabila Sevan bertanya sama ada dia ditahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS