Persaingan dari bandar di sempadan Thailand antara faktor menyebabkan bandar seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor semakin sepi, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan.
Katanya situasi itu menjadikan bandar berkenaan tidak lagi menjadi lokasi istimewa bagi mendapatkan barangan murah sekali gus mengurangkan daya tarikan kepada pengunjung.
"Bandar itu bukan hanya sempadan negeri Kelantan tetapi juga sempadan negara dan malangnya bandar sempadan Thailand jauh lebih tersusun dan hal ini telah saya ketengahkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan perdana menteri,” katanya.
Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri memohon kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian terhadap pembangunan dua bandar di sempadan itu dan permohonan berkenaan mendapat maklum balas positif.
“Kita diminta untuk menyediakan tapak baru bagi dijadikan kawasan bebas cukai,” katanya.
Dia turut menzahirkan penghargaan kepada Putrajaya atas peruntukan yang telah diberikan bagi tujuan pembangunan bandar sempadan.
“Kita ucapkan terima kasih kerana beberapa peruntukan telah diterima untuk usaha itu,” katanya.
Dia berkata kerajaan negeri juga mengenal pasti lokasi baru bagi pembangunan zon bebas cukai di Rantau Panjang dan proses pengambilalihan tanah akan dilakukan.
Bernama sebelum ini melaporkan Rantau Panjang yang terkenal sebagai zon bebas cukai dan destinasi membeli-belah utama di Kelantan kini memerlukan lebih banyak tarikan pelancongan untuk merancakkan semula ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pelawat.
Peniaga dan penduduk setempat berpandangan bahawa tanpa tarikan baru, Rantau Panjang akan terus bergantung semata-mata kepada aktiviti jual beli, sedangkan kawasan itu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat pelancongan lebih menarik.
- Bernama
