Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menolak cadangan supaya seorang menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam dilantik.
Menerusi satu kenyataan hari ini, presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata cadangan ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu satu khusus untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam bercanggah dengan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Peruntukan ini menegaskan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan, sementara memastikan kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka,” katanya.
Muhamad Hisham berkata perlembagaan persekutuan juga memberikan kebebasan kepada lain-lain agama untuk mengamalkan agama masing-masing dengan tertakluk kepada had untuk menyebarkannya berdasarkan perkara 11(4).
Justeru, katanya, cadangan untuk mewujudkan portfolio khusus bagi hal ehwal bukan Islam berpotensi menjejaskan keseimbangan yang telah lama terjalin ini dan boleh menimbulkan implikasi perlembagaan yang serius.
Selain itu, menurutnya, struktur pentadbiran sedia ada telah menyediakan mekanisme yang mencukupi untuk menjaga kepentingan penganut pelbagai agama di Malaysia.
“Penubuhan portfolio baharu di dalam cabang kementerian berpotensi akan menimbulkan pertindihan fungsi dan seterusnya menjejaskan kecekapan pentadbiran.

“Tambahan pula, negara kita telah mempunyai Kementerian Perpaduan Negara yang di dalamnya terdapat jabatan-jabatan seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang berperanan mengukuhkan integrasi nasional dan meningkatkan keharmonian antara penganut agama.
“Fungsi-fungsi ini termasuk menguruskan isu, konflik, dan insiden perpaduan negara, serta melaksanakan program intervensi dan mediasi,” katanya.
Menurut PPMM, cadangan-cadangan seperti itu tidak wajar dipertimbangkan bagi memastikan negara berada dalam landasan terbaik untuk memupuk agenda harmoni sesama kaum agama dan budaya.
Semalam, ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Katanya, dua menteri agama boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak diingini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk seorang pensyarah, tampil mempersoalkan apa yang dilakukan oleh Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, dan kementeriannya sejak tahun 2022 dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara.
Antaranya, merujuk kepada beberapa insiden seperti kontroversi KK Mart, isu penukaran agama, serangan bom petrol ke atas rumah ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham, serta reaksi balas terhadap sambutan Krismas anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
