Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pemerdagangan hidupan liar di sempadan timbulkan persoalan rasuah’
Diterbitkan:  Feb 13, 2025 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Kegagalan pihak berkuasa kawalan sempadan Malaysia mengesan dan membanteras penyeludupan anak siamang dalam beg pakaian baru-baru ini menimbulkan persoalan sama ada wujud amalan rasuah.

Ini kerana pihak berkuasa di India berjaya memintas aktiviti pemerdagangan untuk menangkap pelakunya selepas mereka mendarat di pelbagai lapangan terbang di negara ini, dari penerbangan asal Kuala Lumpur, kata Persatuan Pemuliharaan Ungka.

“Jika pihak berkuasa India telah memintas tiga kes (pemerdagangan hidupan liar) pada 2024, dan lebih banyak lagi pada 2025, berapa ramai lagi yang terlepas tanpa dapat dikesan?

"Memandangkan protokol keselamatan yang ketat di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia, bagaimana anak siamang ini melepasi pemeriksaan kastam dan keselamatan lapangan terbang tanpa disedari?

"Ini menimbulkan kebimbangan besar tentang kegagalan pengawasan, rasuah, atau jurang dalam penguatkuasaan dalam keselamatan sempadan Malaysia dan pengawasan lapangan terbang," kata NGO itu dalam satu kenyataan semalam.

Mariani Ramli

Pengasas NGO itu Mariani Ramli menambah bahawa laporan baru-baru ini mengenai hidupan liar yang diseludup dari Malaysia ke India menunjukkan keadaan berubah daripada buruk kepada lebih teruk.

Katanya, pada 2024, lebih 5,000 hidupan liar yang diseludup dari Malaysia telah dirampas di India.

"Perkara tidak bertambah baik. Patutkah kita bimbang? Adakah kita dalam krisis?" soalnya.

Awal bulan ini Jabatan Kastam di Mumbai dan di Kepulauan Andaman dan Nicobar di India menggagalkan dua percubaan untuk menyeludup primat dari Malaysia ke negara itu, melalui pesawat penumpang.

Dalam kes Mumbai, lima anak siamang disembunyikan dalam bekas plastik di dalam beg troli yang dibawa oleh penumpang, yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur.

Tiga daripada primat itu kemudiannya didapati telah mati manakala dua dalam keadaan kritikal selepas diselamatkan, dan akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik sahaja dipulihkan.

Dalam kes Kepulauan Andaman dan Nicobar, lapan primat - beruk dan siamang - ditemui dalam beg dua penumpang yang terbang dengan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur.

Penyeludup dikatakan mahu meneruskan perjalanan ke Bengaluru dan Chennai, lapor media tempatan.

Oktober lalu seorang wanita Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Chennai cuba memperdagangkan empat anak siamang dan 52 iguana melalui penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pada September 2024, seorang penumpang dari Kuala Lumpur terbang ke Lapangan Terbang Chennai dengan 5,000 ekor penyu di dalam bagasinya, manakala sebulan sebelum itu pihak berkuasa di sana memintas 778 kura-kura bintang India yang ditemui dalam bagasi penumpang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkata ia telah meningkatkan pengimbas kecerdasan buatan yang boleh mengesan penyeludupan hidupan liar tetapi ia hanya mengimbas beg tangan.

Ia bagaimanapun gagal mengesan sebarang hidupan liar yang diseludup dalam beg tangan yang diimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bulan ini.

Bagasi daftar masuk dikendalikan oleh Malaysian Airports Holdings Bhd, yang ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kes baru-baru ini tetapi berkata ia telah meningkatkan pemeriksaan keselamatannya untuk memerangi penyeludupan hidupan liar pada 2023. Ini, termasuk memperkenalkan pemeriksaan tambahan dan anjing penghidu.

NGO itu berkata pihak berkuasa yang menyiasat kes berkenaan juga harus melihat dari mana asal anak siamang, yang merupakan spesies terancam tersebut.

Ini untuk menentukan sama ada mereka ditangkap dari hutan, atau dipelihara melalui "pusat pembiakan haram" yang menyamar sebagai "tempat perlindungan hidupan liar" atau "pusat penyelamat".

"Adakah pihak berkuasa Malaysia menyiasat rantaian bekalan dan kemungkinan penglibatan kemudahan tersebut?" soal NGO itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS