Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri Perpaduan patut jalankan kerja, kata Umno
Diterbitkan:  Feb 13, 2025 2:57 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Umno hari ini meminta wakil rakyat bukan Islam agar menghormati Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara tiga mengenai kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.

Oleh itu kata setiausaha agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki, tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio menteri khusus untuk mentadbir hal ehwal agama bukan Islam.

"Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri perpaduan yang patut jalankan kerja," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, jawatan menteri perpaduan negara disandang oleh Aaron Ago Dagang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak.

Tambah Asyraf Wajdi, dalam perlembagaan ada dinyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan namun kebebasan beragama untuk semua adalah dijamin.

“Namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus untuk pengurusan agama selain Islam,” katanya.

Semalam, seorang ahli parlimen kerajaan menyarankan supaya portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Semasa membakaskan usul menjunjung kasih titah diraja, Chow Yu Hui berkata dengan adanya dua menteri mentadbir hal ehwal agama, sesuatu isu boleh dibincangkan dengan lebih berkesan serta mengelakkan kontroversi.

Kenyataan ahli parlimen Raub itu dibuat susulan dakwaan mengenai perpaduan negara yang akhir-akhir ini dikatakan semakin rapuh.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, pula berkata cadangan dikemukakan Chow bukan sahaja tidak munasabah, malah boleh mencetuskan polemik.

Katanya, cadangan sebegitu tidak wajar diketengahkan kerana ia tidak akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Abim menegaskan sebarang cadangan yang tidak realistik dan tidak munasabah hanya akan membawa kepada polemik yang tidak diperlukan.

"Dalam hal ini, Abim menegaskan bahawa platform sedia ada seperti Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama dan penyelarasan antara Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

"Mekanisme ini telah sedia ada dan boleh diperbaiki bagi memastikan isu-isu berkaitan agama dapat ditangani secara efektif serta selari dengan prinsip keharmonian dan perpaduan negara," katanya.

Boleh sebabkan ketegangan

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata cadangan dikemukakan wakil rakyat DAP itu bukan sahaja tidak perlu, malah tidak praktikal.

Katanya, kedudukan Islam di negara ini diperkukuhkan lagi dengan peruntukan Jadual Kesembilan Senarai II, yang menunjukkan betapa pentingnya kedudukan Islam dalam kerangka asas perlembagaan dan pentadbiran negara ini.

Faiz Fadzil

"Ini adalah kerana urusan hidup orang Islam bukan sahaja dikawal oleh undang-undang sivil yang merangkumi juga orang bukan Islam, tetapi juga undang-undang syariah yang mengatur kehidupan orang Islam.

"Justeru, Amanah yang mengangkat agenda wasatiyah (kesederhanaan) percaya bahawa peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada ini memadai bagi menjamin keharmonian rakyat dan perpaduan kaum.

"Apa yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan merangka dasar dan strategi mendidik dan memupuk kefahaman tentang perpaduan kaum.

“Justeru, tiada keperluan merangka apa-apa peraturan atau dasar yang membahagikan Islam dan agama lain di dalam satu portfolio," katanya.

Chow Yu Hui

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Batu Gajah, Nadhir Zuhir Nozi, pula menyelar Chow yang dianggapnya jelas menunjukkan ahli politik terbabit kurang faham terhadap struktur pentadbiran negara dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

"Ia boleh menimbulkan ketegangan agama dan memecahbelahkan perpaduan nasional yang telah lama terjalin.

“Kami menghormati kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan, namun usaha untuk mempolitikkan hal ehwal agama melalui pelantikan menteri khusus bagi agama-agama lain boleh menjejaskan perpaduan nasional," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS