Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyatakan rasa terkejut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa “kekurangan maklumat” punca agensi itu sukar mengambil tindakan terhadap dakwaan skandal Sabah.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata sebenarnya terdapat begitu banyak bukti yang boleh digunakan oleh SPRM untuk mengambil tindakan lanjut.
Dia juga menyatakan bahawa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, percaya terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan wujud amalan rasuah dan perlu langkah lanjut menanganinya.
“Bahkan nampaknya ada bahan yang mencukupi untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu musim siri di Netflix," kata Arutchelvan secara sinis.
Memandangkan pemberi maklumat mendakwa memiliki lebih banyak video berkaitan, tambah Arutchelvan, mungkin SPRM sedang menunggu ‘musim kedua’ pendedahan tersebut atau kedatangan pilihan raya negeri (PRN).
Semalam Malaysiakini yang memetik Astro Awani melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata kekurangan maklumat menjadi cabaran terbesar agensi berkenaan dalam menyiasat dakwaan rasuah Sabah.
Bagaimanapun, Azam juga menegaskan tiada sebarang campur tangan politik berlaku dalam siasatan kes berkenaan, dan SPRM memerlukan saksi yang sesuai bagi memastikan dakwaan itu kukuh.
“Dalam kes ini, whistleblower (pembocor maklumat) berkenaan masih tidak mahu berkongsi video berkaitan, jadi maklumat (video diterbit Malaysiakini) kita ada itu terlalu sedikit dan sukarkan siasatan kami,” katanya.
Piawaian berubah-ubah
Untuk rekod Latheefa merupakan pegawai tertinggi SPRM sebelum Azam dan berkhidmat di agensi antirasuah terbabit semasa kerajaan PH.
Dia dipetik sebagai berkata video yang diterbitkan oleh Malaysiakini sebelum ini menunjukkan “bukti jelas” amalan rasuah dan memenuhi sepenuhnya definisi “suapan” mengikut tafsiran Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sejak November, Malaysiakini telah menerbitkan lebih lapan klip video dan pelbagai tangkap skrin WhatsApp berkaitan kes itu.
Pemberi maklumat - seorang ahli perniagaan - mendakwa bahawa video berkenaan merakam perbincangan mengenai rasuah yang ditawarkannya kepada beberapa Adun sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai cubaan untuk memburukkan kerajaan negeri. Dia juga berpendapat pembocor maklumat terbabit mungkin berpakat dengan pihak yang mempunyai kepentingan.

Selain itu, terdapat dakwaan bahawa ahli perniagaan terbabit adalah sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli kegiatan pelombongan di Sabah dan menggunakan penipuan untuk mencapai matlamat mereka.
Menganggap pihak berkusa memberikan reaksi berbeza dalam kes lain berbanding isu Sabah, Arutchelvan berkata, kesungguhan politik sangat penting dalam usaha menangani dakwaan rasuah yang melibatkan ahli politik.
“Undang-undang tak mengenal sesiapa dan tindakan pantas diambil ke atas rakyat biasa, tetapi apabila melibatkan ahli politik, piawaiannya berubah, dan bergantung kepada di sisi mana pihak terbabit itu berada, bukti dikatakan selalu saja tak mencukupi.
“Ini bukan perkara baru. Perdana menteri kita sekarang dan PH pernah menegaskan perkara ini berkali-kali dulu,” tambahnya.
Mengimbas kembali ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa memandu kereta bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, baru-baru ini, Arutchelvan mengingatkan pengerusi PH berkenaan bahawa dia kini berada di kerusi pemandu negara.
“Anwar mungkin jarang-jarang memandu kereta dan mungkin kemahirannya dan ‘berkarat’ tapi beliau telah menghabiskan masa bertahun-tahun mempersiapkan diri untuk peranan memacu negara.
“Salah satu janji utamanya ialah membasmi rasuah untuk memajukan negara. Saya harap dia kekal dengan ikrar tersebut.
“Saya sangat berharap, pada akhirnya penyokongnya mahupun PH tidak akan bertanya soalan yang sama: ‘Macam mana kita boleh mempercayai dia untuk memandu?’” tambahnya.
