Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Memburu emas Olimpik dengan resipi universiti Jepun

ULASAN SUKAN | Menu popular dari Jepun seperti sushi, tempura, shabu-shabu atau sukiyaki sudah menjadi antara makanan kegemaran rakyat Malaysia. Terbukti ia berjaya memasuki ke pasaran tempatan dan mendapat sambutan.

Begitu juga jenama kereta seperti Honda atau Toyota yang menjadi antara kenderaan paling diminati oleh orang tempatan pada hari ini.

Kepakaran dan kreativiti negara matahari terbit itu lazimnya diperakui mendapat kepercayaan kita selepas sudah diuji sekian lama.

Baru-baru ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilaporkan berhajat mahu bekerjasama dengan Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) dari Tokyo.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata penetapan sasaran pingat untuk Sukan SEA pada Dis tahun ini akan berdasarkan kepada jumlah keseluruhan tanpa mengira warna sama ada emas, perak atau gangsa.

Dia menerangkan bahawa pendekatan itu diambil berdasarkan saranan pakar NSSU, dan menambah ia sudah lama diamalkan oleh negara lain di rantau Asia, termasuk Korea Selatan, Iran, Singapura dan Hong Kong.

Matlamat utama di sini terarah kepada usaha membuka peluang perkongsian pengetahuan dan kepakaran membabitkan bidang teknologi sains sukan dan juga pendidikan jasmani.

Difahamkan, universiti yang dikenali sebagai Nittaidai itu juga bersedia menawarkan kepakaran membantu memperkasa aplikasi sains sukan menerusi kajian ilmiah, latihan serta teknologi tertinggi.

Belum pernah tuai emas Olimpik

Apakah kerjasama seumpama itu dapat menguntungkan atlet dan pegawai, termasuk jurulatih kita dalam bidang sukan?

Kita pun kurang pasti berapa jumlah yang perlu dibelanjakan bagi penggunaan aplikasi dari Jepun berkenaan. Namun pada ketika sama, kita juga tidak boleh menolak terus kaedah sukan seperti itu dengan satu andaian - belum cuba, belum tahu.

Sama ada berbaloi atau tidak, ia mungkin boleh diuji pada temasya Sukan SEA terlebih dahulu.

Sejak dua atau tiga dekad lalu kita sudah mencuba resipi atau ramuan dari negara asing dan pencapaiannya agak suam-suam saja. Kita pun belum berjaya melahirkan lagi pemenang pingat emas pertama untuk Sukan Olimpik.

Mungkin juga di atas ‘keraguan’ seumpama ini yang mendorong penganalisis sukan negara, Mohd Sadek Mustaffa, baru-baru ini mempersoalkan aplikasi yang mahu digunakan oleh KBS untuk menetapkan sasaran pingat bagi temasya sukan besar, termasuk Sukan SEA 2025 di Thailand.

Pada pandangan pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, formula berkenaan mungkin tidak serasi untuk Malaysia.

Hujah dia ialah, sampel digunakan pasti tidak sama kerana menggunakan atlet dari Jepun.

Mohd Sadek juga menyebut ia tidak boleh diterap ke atas atlet negara ketika demografi kita berbeza dengan Jepun.

Pada Feb 9 lalu, Yeoh cuba memberi penjelasan lagi bahawa keputusan bekerjasama dengan NSSU dibuat dengan mengambil saranan pakar sukan kita.

Dia juga mengutarakan betapa institusi pengajian tinggi utama Jepun itu memiliki rekod hebat dalam menghasilkan atlet bertaraf dunia. Misalnya, mereka berjaya melahirkan 137 pemenang pingat untuk kontinjen Jepun di temasya Olimpik dan Sukan Paralimpik, termasuk 41 pingat emas secara keseluruhan.

Dengar pandangan atlet

Seperkara lagi difahamkan ialah, bagi pengamatan institusi berkenaan, amalan tradisi yang meletakkan sasaran pingat berpandu kepada warnanya adalah satu kaedah yang sudah lama tidak diikuti lagi oleh kebanyakan negara.

“Ini bukanlah hanya saranan saya, tetapi ia datang dari NSSU. Ketika kami berbincang, mereka bertanya kenapa Malaysia masih menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat sedangkan negara lain sudah tidak lagi mengamalkannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama baru-baru ini.

Yeoh menambah: “Jika pendekatan ini terbukti menguntungkan Jepun, Australia dan beberapa kuasa sukan yang lain, saya juga bersedia untuk memberi peluang kepada kaedah baru ini.”

Difahamkan, KBS terlebih dahulu mendengar pandangan daripada atlet negara dan juga reaksi serta nasihat daripada pakar sukan tempatan.

Seperkara adalah, keputusan untuk melaksanakan kaedah berkenaan sudah pun dibuat secara rasmi oleh pihak KBS pada Feb 14 2023 apabila satu memorandum persefahaman dengan NSSU dimeterai.

Ia bagi menyalakan harapan untuk merealisasikan emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Ahmad Shapawi Ismail

Pada hari berkenaan, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Mohamad Norza Zakaria dan Yeoh turut hadir.  NSSU diwakili pengerusi lembaga pengarahnya, Kenshiro Matsunami.

Sebenarnya, ia nampak boleh menguntungkan kita kerana Jepun jelas terbukti dalam kemajuan sukan mereka pada era moden ini dengan berteraskan disiplin cukup tinggi.

Atlet dari NSSU juga memiliki reputasi besar selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik.

Antaranya ialah jaguh renang, Kosuke Kitajima yang gah meraih emas acara kuak dada 100 meter dan 200m pada Sukan Olimpik 2004 di Athens, selain 2008 di Beijing.

Kita juga mengenali Shibichi Chiba atau lebih popular dengan nama jolokan Sonny Chiba.

Dia adalah antara pelakon pertama yang mengecapi gemilang menerusi kemahirannya dalam seni mempertahankan diri di Jepun sebelum menceburi dunia perfileman antarabangsa.

Setidak-tidaknya perkongsian pengalaman dan formula kejayaan mereka itu dapat memberi manfaat jangka panjang kepada atlet kita.

Lagi pun, jika tempura, sushi sudah menjadi makanan kegemaran di sini, serta ramai memandu selesa Honda dan Toyota, rasa-rasanya aplikasi dari NSSU pun boleh serasi dengan kita perlahan-lahan.

Belum cuba, belum tahu! 


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS