Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jangan terjebak perangkap 'Islam terancam' - Pemuda DAP
Diterbitkan:  Feb 14, 2025 1:28 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Dua pemimpin Pemuda DAP, yang juga adalah  peguambela, menangkis dakwaan bahawa cadangan penubuhan portfolio menteri bagi hal ehwal bukan Islam akan menjejaskan atau menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Sehubungan itu, Lim Chun Weng dan Jason Ng mengingatkan semua pihak agar tidak terjebak dengan  "perangkap politik" Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tetapi sebaliknya, menilai cadangan itu secara rasional dan konstruktif demi kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya percubaan parti pembangkang dan pemimpin Umno tertentu, seperti Akmal, untuk merangka cadangan ini sebagai cabaran kepada kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, ia semata-mata untuk publisiti politik murahan,” kata mereka.

Lim, setiausaha Pemuda DAP, dan Ng, ketua biro dasar awam sayap itu serta juga Adun Astaka, berkata bahawa mereka telah menilai cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen DAP Chow Yu Hui di Parlimen, yang mencetuskan kemelut itu.

Menurut mereka, sekadar pelantikan menteri untuk menyelia hal ehwal bukan Islam tidak mencabar status agama Islam, kerana ia dilindungi di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Ada pihak tertentu seperti Pemuda PAS dan Persatuan Peguam Islam Malaysia (PPMM) mendakwa cadangan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Ini tidak betul, kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyekat pelantikan menteri untuk menyelia agama selain Islam.

“Sebaliknya, cadangan ini harus diteliti dan dipertimbangkan secara rasional, kerana amalan agama lain juga dilindungi dan dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Lim dan Ng menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama dengan bancian 2020, menunjukkan kira-kira 63.5 peratus daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menganut agama Islam, manakala sekitar 36.5 peratus adalah penganut agama lain.

Bagaimanapun, pasangan itu berkata sehingga kini, belum ada menteri berdedikasi yang bertanggungjawab untuk menyelia hal ehwal agama bukan Islam, yang merangkumi kira-kira 10 juta orang.

“Ramai yang berpendapat bahawa memadai negara ini mempunyai menteri perpaduan negara, justeru pelantikan  menteri hal ehwal bukan Islam tidak perlu. 

“Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memahami bahawa peranan utama menteri perpaduan negara adalah untuk memupuk keharmonian dan perpaduan kaum, bukan untuk menangani keperluan khusus agama bukan Islam.

“Kita juga harus mengakui bahawa kebimbangan dan hal ehwal masyarakat bukan Islam wajar ditangani dan diambil serius oleh kerajaan persekutuan, walaupun Islam kekal sebagai agama rasmi persekutuan,” kata mereka.

Tambahan pula, Lim dan Ng berkata cadangan itu bukan idea baharu, kerana jawatan serupa telah pun diwujudkan di peringkat negeri di Perak, Negeri Sembilan, dan Selangor, dengan exco hal ehwal bukan Islam dilantik untuk memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam.

“Walaupun begitu, status Islam di negeri-negeri ini tetap terjamin dan tidak pernah dicabar,” kata mereka.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS