Seorang ahli parlimen PKR berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio khas dalam kabinet bagi mengelola hal-ehwal agama bukan Islam.
Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata mewujudkan portfolio khas itu akan membantu menangani isu-isu agama bukan Islam bagi mengelakkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
"Saya tidak setuju dengan pihak yang berkata tiada keperluan portfolio khas dalam kabinet mengelola hal-ehwal agama bukan Islam. Saya pernah bahas isu ini di parlimen.

"Perpaduan negara menjadi sering menjadi isu dan salah satu puncanya adalah agama. Ada pihak menunggang agama untuk kepentingan politik mereka sendiri.
"Maka, bagi saya mewujudkan kementerian hal ehwal bukan Islam akan membantu menangani isu-isu sebegini," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, Yuneswaran diminta mengulas pandangan beberapa pihak yang berkata tiada keperluan mewujudkan portfolio khas dalam kabinet bagi mengelola hal-ehwal agama bukan Islam.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, menyarankan agar diwujudkan satu lagi jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mengelola urusan penganut agama selain Islam.
Ketika ini, seorang menteri di JPM bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran Islam.

Menurut Chow, langkah itu dicadangkan agar isu keharmonian serta perpaduan negara dapat dibincangkan dengan lebih berkesan, selain dapat mengelak sesuatu kontroversi.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada PAS, Umno dan beberapa pertubuhan Islam lain.
Rata-rata mereka menganggap saranan tersebut adalah usaha terancang untuk meletakkan Islam setara dengan agama lain di Malaysia dan memadai bagi kementerian perpaduan negara perlu menjalankan tugas berkenaan.
Bagaimanapun, Yuneswaran berkata kementerian perpaduan tidak sesuai untuk menjaga hal ehwal bukan Islam.
"Isu bangsa, etnik masih boleh dikawal di bawah kementerian perpaduan Tapi, apabila mengenai soal agama, kita perlu pihak yang memahami perkara-perkara itu lebih mendalam.

"Ingin saya katakan di sini, hak agama bukan Islam juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. aksudnya, hak agama bukan Islam juga dilindungi dalam undang-undang tertinggi negara kita," katanya.
"Perlembagaan kita sangat jelas. Agama Islam, hak Bumiputera, bahasa Melayu dan keistimewaan raja-raja tidak boleh diancam atau disentuh oleh mana-man pihak. Yang saya minta mewujudkan portfolio khas itu untuk memudahkan urusan agama bukan Islam," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam berkata dia juga bersetuju dengan cadangan ahli parlimen Raub itu.

"Saya bersetuju dengan cadangan MP Raub. Saya cadang kerajaan Madani mewujudkan Jabatan bukan Islam dibawa penyeliaan kementerian perpaduan.
"Ia akan membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang wujud tanpa disedari dalam pengurusan agama bukan Islam dengan sistematik," katanya.
