Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini meminta tiada mana-mana pihak menjadikan program Jalinan Muhibah Madani sempena Tahun Baru Cina di Kelang, Selangor esok sebagai polemik.
Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, berkata program yang dijadual berlangsung di dewan Persatuan Hokkien Kelang itu bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian negara.
Katanya progam berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Yayasan Pusat Hidayah (HCF) serta Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Menurut Sirajuddin, program seumpama itu sudah dianjurkan Jakim setiap tahun untuk menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina, selain memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturrahim masyarakat majmuk di negara ini.
Tambahnya ia adalah sebahagian daripada peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi hal ehwal Islam untuk menyebarkan rahmah dan mesej keharmonian kepada masyarakat.
“Semua pihak dipohon untuk tidak mempolemikkan isu ini sehingga boleh menjejaskan usaha pengukuhan perpaduan.
“Marilah kita saling menyokong usaha ke arah memperkukuh keharmonian negara madani,” katanya.
Dalam jemputan media yang dikeluarkan semalam, Jakim berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan merasmikan majlis tersebut.
Ia turut melibatkan acara tradisional masyarakat Cina menyambut tahun baru iaitu yee sang yang secara simbolik mahu menunjukkan kemakmuran.
Bagaimanapun, beberapa akhbar harian berbahasa Cina hari ini melaporkan sesi tersebut dibatalkan.
