Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sosma: Aspek keselamatan, hak asasi individu fokus kerajaan
Diterbitkan:  Feb 15, 2025 3:36 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Prinsip keadilan bagi mengimbangi antara kewajipan mempertahankan keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan menghormati hak asasi individu akan menjadi fokus pembentangan kenyataan menteri berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan bersedia untuk meneliti semula Sosma khususnya beberapa seksyen yang termaktub dalam akta tersebut namun terdapat kewajaran mengguna peruntukan berkenaan khusus bagi jenayah terancang dan keganasan ekstrem.

Kata Saifuddin, dia akan membentangkan kenyataan menteri berhubung hala tuju Sosma dari perspektif keputusan kerajaan termasuk meneliti semula seksyen-seksyen yang termaktub dalam akta berkenaan di Dewan Rakyat minggu depan.

“Seksyen-seksyen yang dianggap sebagai barangkali sudah sampai masanya untuk kerajaan teliti balik, secara khususnya seksyen 13 berkaitan kesalahan yang boleh diikat jamin dan tidak boleh diikat jamin.

“Semalam jemaah menteri perhalusi aspek mana (yang perlu dipinda), misalnya Sosma ini digunakan dalam kes-kes jenayah terancang ataupun gangsterisme tahap ekstrem dan keselamatan.

“Sosma adalah undang undang yang sesuai untuk digunakan bagi menghadapi keadaan itu. Ini bukannya jenayah biasa,” katanya selepas menghadiri sambutan Dua Dekad Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (2DMM) di Persiaran Karpal Singh, George Town hari ini.

Saifuddin berkata kerajaan bersedia untuk menilai dan menyesuaikan Sosma dengan keperluan semasa.

Sepanjang dua tahun lalu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar keselamatan dan organisasi berhubung akta itu.

Semalam, jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Sosma diteliti dan disemak semula bagi menambah baik akta berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS