Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan media tuntut caruman berkanun, gaji tertunggak dari Petra News
Diterbitkan:  Feb 15, 2025 6:12 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Seramai 15 kakitangan The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran mendakwa pemilik portal berita berkenaan, Petra News Sdn Bhd gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan potongan cukai untuk pekerja pada 2024.

Menurut mereka, semakan yang dibuat dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati walaupun pemotongan gaji telah dibuat, Petra News gagal menyerahkan bayaran kepada pihak berkuasa berkaitan.

"Pekerja yang terjejas mempunyai bukti pemotongan ini dalam slip gaji bulanan mereka.

"Setelah menyedari hal ini, kakitangan terjejas telah membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur, pada 14 Februari 2025," kata mereka dalam satu kenyataan.

Pekerja berkenaan berkata, selain kegagalan menyerahkan caruman berkanun, mereka juga mengalami kelewatan pembayaran gaji sejak tahun lalu.

"Kakitangan yang terkesan telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang kini sedang menjalankan siasatan," jelasnya.

Menurut mereka, perkara itu menyebabkan kesusahan kewangan kepada pekerja, termasuk permohonan pinjaman ditolak kerana caruman KWSP tidak dikreditkan.

"Pekerja juga bimbang akan dikenakan penalti oleh LHDN apabila memfailkan cukai pendapatan mereka,” kata kenyataan tersebut.

Mereka juga mendakwa Petra News gagal menghadiri beberapa pendengaran yang dijadualkan, enggan menandatangani memorandum persefahaman dan melanggar perjanjian terdahulu yang dibuat dengan beberapa pengadu.

"Walaupun terdapat pelanggaran serius ini, tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap Petra News Sdn Bhd atau pemiliknya," kata mereka.

Sehubungan itu mereka menggesa kementerian serta pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera terhadap Petra News bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dan melindungi keselamatan kewangan pekerja.

"Kami menuntut agar Petra News Sdn Bhd segera melunaskan semua caruman tertunggak KWSP, PCB dan Perkeso bagi tahun 2024 mengikut keperluan undang-undang,” tegasnya.

Dalam pada itu mereka juga menyuarakan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kerana memberi bantuan berterusan ketika gaji mereka tidak dibayar.

Malaysiakini telah menghubungi Petra News untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas Petra News.

"Geramm juga menggesa pemilik media berkaitan serta pihak pengurusan agar tidak bersikap lepas tangan dan memberi bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian.

"Ada harga yang harus dibayar untuk mempertahankan lanskap media bebas, bermula dengan memenuhi hak-hak asasi pekerja media untuk dibayar gaji setimpal selain dari jaminan keselamatan sosial seperti diperuntukkan dibawah undang-undang,” ujarnya.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan dua laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Pihak polis ada terima dua laporan berkaitan isu tersebut dan kedua-dua laporan dirujuk kepada agensi berkaitan (KWSP, LHDN dan Perkeso untuk tindakan lanjut),” katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS