Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam saran Ahmad Terrirudin direhatkan sebagai hakim mahkamah persekutuan

Bekas Peguam Negara (AG), Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, disarankan untuk digantung sementara daripada menjalankan tugas sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga isu titah tambahan berkaitan Najib Razak diselesaikan, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Haniff bersetuju dengan cadangan Pesuruhjaya Suhakam dan ahli Umno, Hasnal Rezua Merican, yang menyuarakan kebimbangan mengenai kredibiliti, ketelusan dan integriti Terrirudin.

"Jadi, saya punya pandangan ya, administratively, ketua hakim negara sepatutnya merehatkan dia daripada menjalankan tugas sebagai hakim mahkamah persekutuan sehingga isu titah adendum diputuskan,” kata Hasnal dalam satu forum di Kuala Lumpur hari ini.

Hasnal berkata kesilapan Terrirudin dalam isu titah adendum itu mengelirukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sehingga permohonan Najib untuk mengesahkan kewujudan dokumen tersebut ditolak.

Tambahnya, kesilapan itu turut menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengelirukan parlimen apabila dia mengatakan dokumen tersebut bersifat ‘khabar angin’.

Selain itu, katanya, keputusan terrirudin yang dibuat di Mahkamah Persekutuan akan menjadi mengikat secara sah.

"Dan dia berada di situ dalam kapasiti sebagai orang yang boleh menjadikan atau menterjemahkan sesuatu keputusan sebagai undang-undang," tambahnya.

Sebelum ini, Terrirudin mengelak soalan wartawan apabila ditanya mengenai kewujudan titah tambahan tersebut.

Dia juga mengelak daripada petugas media apabila ditanya apakah Pejabat Peguam Negara (AGC) pernah menerima dokumen tersebut pada tahun lalu.

Titah tambahan berkenaan dikeluarkan pada 29 Januari tahun lepas yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Terrirudin merupakan Peguam Negara ketika Lembaga Pengampunan bersidang yang mengurangkan hukuman penjara dan denda kepada Najib.

Dusuki menggantikannya pada November tahun lepas.

Titah berkenaaan dilampirkan kepada titah utama Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.

Najib bergantung kepada kewujudan titah tambahan itu untuk menyokong permohonannya dalam usaha menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan perintah tahanan rumah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS