Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu penjaja rasis: Elak sentuh sensitiviti kaum - menteri agama

Rakyat di negara ini dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam setiap perkataan dan perbuatan bagi memastikan sensitiviti kaum terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar menekankan kepentingan menjaga keharmonian masyarakat dengan bersikap lebih peka terhadap isu-isu sensitif.

"Saya sudah banyak kali sebut di mana kita kena hati-hati dengan perkataan kita, perbuatan, dan sensitiviti kaum adalah satu perkara yang sangat sensitif.

"Ini satu perkara yang nama pun sensitif kan. Jadi masyarakat kena berhati-hati dan kita tak naklah apa saja perkataan dan perbuatan yang kita keluarkan akan menyebabkan kemarahan kaum yang lain.

"Jadi hormat dan menghormati itu sangat diperlukan," katanya kepada media selepas program Jalinan Muhibbah Madani Tahun Baru Cina 2025 di Klang, hari ini.

Video tular

Na’im diminta mengulas mengenai video yang tular di media sosial berkaitan satu notis berunsur perkauman yang diletakkan oleh seorang penjaja di gerainya.

Bagaimanapun, dia berkata tidak dapat memberikan komen lanjut kerana masih belum menerima maklumat lengkap mengenai kejadian tersebut.

"Saya belum dapat maklumat, jadi saya tak boleh nak komen. Nanti, bila saya dapat," katanya ringkas.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang penjaja di tepi jalan didapati meletakkan notis yang mengandungi unsur perkauman di atas meja jualannya di Kota Warisan, Sepang.

Notis tersebut berbunyi:

"Sorry, ini jagung tiada jual sama orang keling."

Istilah keling merupakan perkataan menghina yang digunakan terhadap masyarakat India.

Desak tindakan tegas

Seorang wanita India yang merakam video tersebut mendakwa terlihat gerai itu ketika melalui kawasan berkenaan.

Namun, dia mendakwa pemilik gerai tersebut mengikutinya dan merakam pergerakannya, yang turut dibalas dengan rakaman daripada pihaknya.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan pada maklum balasnya, meluahkan rasa terkejut dengan rakaman video tersebut dan menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Perpaduan Negara untuk mengambil tindakan segera.

Tegasnya tindakan individu terbabit tidak mencerminkan keseluruhan masyarakat Melayu, sebaliknya hanya segelintir individu yang bersikap ekstrem.

Bekas menteri itu turut memberi amaran jika insiden sebegini tidak ditangani dengan segera, ia boleh membawa kesan yang amat berbahaya terhadap perpaduan negara.

Semalam Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang turut mengecam tindakan penjaja tersebut selepas perkara itu.

Sementara itu, Na'im ketika ucapan perasmiannya berkata program jalinan muhibah hari ini yang diselaras oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum serta agama.

"Kita diminta, saling mengenal, menghormati kepelbagaian dan seperti semua sedia maklum dalam pembinaan kerajaan Madani, semua usaha ke arah kesatuan dan perpaduan itu memang diutamakan," katanya.

Na’im juga berkata agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk terus memperkukuhkan kesatuan dan keharmonian masyarakat demi kemakmuran negara.

Tiada acara gaul yee sang

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Seangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sirajuddin Suhaimee.

Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baharu Cina hari ini berlangsung di Dewan Hokkiean, Klang, Selangor merupakan program anjuran agensi itu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Selain itu, program tersebut turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Hidayah Centre Foundation (HCF) dan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam tentatif program hari ini sepatutnya Na’im akan menyertai majlis gaul 'Yee Sang' bersama komuniti Cina

Bagaimanapun, tiada acara sedemikian berlangsung.

Malaysiakini dimaklumkan ini kerana tentatif program telah dikemaskini dengan tidak memasukkan acara tersebut dalam program hari ini dan tidak mengemaskini jemputan sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS