Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PRU mengejut' helah Bersatu alih perhatian perpecahan dalaman - MP PKR
Diterbitkan:  Feb 16, 2025 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Cakap-cakap Bersatu mengenai pilihan raya mengejut adalah helah untuk mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalaman parti itu, kata Ahli Parlimen PKR, R Yuneswaran.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata keadaan Bersatu kini tegang antara kumpulan yang menyokong presiden Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Hamzah Zainudin.

Tambahnya, Muhyiddin dan Hamzah juga sudah lama tidak dilihat bersama di khalayak ramai.

"Apabila semuanya dikaji, cakap-cakap tentang pilihan raya mengejut di peringkat nasional ini kelihatan seperti usaha untuk mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalam parti itu sendiri," katanya dalam kenyataan.

Yuneswaran merujuk kepada setiausaha agung Bersatu, Azmin Ali, yang minggu lepas berkata parti itu telah memulakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum mengejut.

Pada November tahun lalu, Muhyiddin memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah menyusun barisan kepimpinan yang menyaksikan kompromi berjaya dicapai bagi mengelak perpecahan.

Timbul spekulasi bahawa langkah itu diambil untuk mengelakkan pertembungan antara kem yang menyokong Hamzah dan Azmin.

Kepimpinan parti itu kemudian dirombak, dengan Hamzah melepaskan jawatan sebagai setiausaha agung untuk memberi laluan kepada Azmin.

Bagaimanapun, Yuneswaran membayangkan persefahaman itu kian pudar.

Dia merujuk kepada mandat yang diterima Muhyiddin daripada majlis tertinggi Bersatu untuk memastikan pemilihan parti itu tidak mencetuskan perpecahan.

"Apa yang dilakukannya adalah mewujudkan situasi tanpa pertandingan dengan dirinya sebagai presiden, manakala Hamzah berada di kerusi timbalan, sementara penyandang ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, mengundur diri. Namun, persefahaman itu kini kian pudar.

"Banyak persoalan timbul sama ada ini bertujuan untuk mengelakkan pembelotan lebih lanjut memandangkan enam Ahli Parlimen telah beralih sokongan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim," kata Yuneswaran.

DIa merujuk kepada enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyokong Anwar sebagai perdana menteri, sekali gus menentang pendirian parti itu sebagai pembangkang.

Bekas pemimpin Bersatu, Mahathir Mohd Rais, juga baru-baru ini meletak jawatan daripada parti itu, serta memberi bayangan bahawa dia mungkin menyertai parti kerajaan.

Yuneswaran turut menyentuh mengenai kes rasuah yang dihadapi pemimpin Bersatu serta peranan PAS sebagai 'abang besar' dalam PN.

"Dan berapa ramai pemimpin Bersatu yang benar-benar berminat untuk meraih kuasa di tengah-tengah tuduhan dan kes rasuah yang sedang berjalan?

"Dan apa pandangan 'abang besar' parti PAS tentang keperluan membawa kumpulan yang berpecah-belah ini dalam pilihan raya akan datang?

"Lagipun, terdapat kerusi yang dimenangi Bersatu kerana sokongan PAS, tetapi yang sebaliknya jarang berlaku," katanya.

Bulan lepas, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti Islam itu sepatutnya mengetuai PN, dengan alasan PAS memiliki kekuatan politik berbanding Bersatu.

Untuk rekod, PAS mempunyai 43 kerusi parlimen di Dewan Rakyat berbanding 25 kerusi dimenangi Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS