Siasatan SPRM terhadap skandal rasuah melibatkan Adun-Adun di Sabah masih berjalan dengan pihak SPRM baru-baru ini mengambil keterangan daripada lima individu termasuk seorang ahli politik dari negeri itu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sekali lagi menegaskan hanya terdapat sedikit bukti dalam kes tersebut.
Sebagai respon kepada pengkritiknya, Azam berkata video yang ada setakat ini - seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini - tidak boleh diguna pakai sebagai bukti.
“Video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.
"Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti," katanya seperti dilapor Bernama.
Seorang pemberi maklumat sebelum ini mendedahkan video-video tersebut kepada Malaysiakini berhubung dakwaan beberapa Adun Sabah menerima rasuah daripadanya.
Ahli perniagaan itu pada mulanya meminta perlindungan sebagai pemberi maklumat sebagai balasan untuk mendedahkan video berkenaan, tetapi permintaannya ditolak kerana peranannya sebagai pemberi rasuah seperti yang didakwa.
Pada 5 Feb lalu, peguam kepada pemberi maklumat itu, Muhammad Shafee Abdullah, mendedahkan anak guamnya mempunyai banyak lagi rakaman video dalam simpanannya serta tangkap layar mesej WhatsApp.
Sebelum ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, video-video yang disiarkan Malaysiakini itu menunjukkan “bukti jelas” berlaku rasuah dan memenuhi definisi “suapan” di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
