Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penggubalan akta antidiskriminasi kaum tidak boleh dipandang ringan
Diterbitkan:  Feb 17, 2025 9:04 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan supaya segera menggubal akta antidiskriminasi kaum sebagai langkah tegas menangani ucapan kebencian, sikap rasis, dan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Menurut Lim, penggubalan akta itu tidak boleh dipandang ringan dan ia penting untuk menghentikan tindakan individu atau ahli politik yang sengaja menghasut kebencian kaum serta mewujudkan ketegangan antara komuniti atas dasar bangsa atau latar belakang.

"Masanya telah tiba untuk Akta Antidiskriminasi Kaum digubal bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum dan tindakan ekstremis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata demikian ketika mengulas insiden seorang peniaga di Sepang yang enggan menjual jagung kepada pelanggan berbangsa India serta menggunakan bahasa berunsur rasis. Video yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Lim berkata, insiden tersebut sebagai manifestasi sikap perkauman yang tidak sihat dan tidak rasional dalam kalangan segelintir masyarakat.

"Kejadian ini membimbangkan kerana ia menunjukkan bagaimana sentimen perkauman secara terang-terangan dipamerkan tanpa rasa malu. Tindakan seperti ini tidak lagi boleh dianggap remeh, sama seperti ucapan rasis ahli politik ekstrem," katanya.

Menurut Lim, ucapan kebencian dan tindakan diskriminasi kaum bukan sahaja mencetuskan ketegangan antara komuniti, malah berpotensi menghancurkan keharmonian kaum yang telah lama menjadi tonggak utama Malaysia.

"Akta antidiskriminasi kaum bukan sekadar undang-undang untuk menghukum mereka yang bersalah, tetapi ia adalah langkah ke hadapan dalam memupuk rasa hormat, toleransi, dan penerimaan terhadap kepelbagaian yang menjadi asas identiti Malaysia," ujarnya.

Tambahnya, jika kejadian seperti di Sepang itu tidak ditangani dengan tegas, ia boleh membawa akibat buruk kepada negara, termasuk perpecahan masyarakat dan keruntuhan nilai-nilai toleransi antara agama dan kaum.

Lim turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan diskriminasi dan ucapan kebencian seperti itu.

"Kegagalan untuk bertindak hanya akan menguatkan semangat pelaku rasisme dan memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa perbuatan tersebut diterima," katanya.

Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengangkat konsep 'Malaysia Truly Asia' harus menolak sebarang bentuk perkauman yang mencemar reputasi negara di mata dunia.

Lim juga menyatakan bahawa akta tersebut harus diperkuat dengan penguatkuasaan yang tegas dan hukuman yang setimpal agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba menghasut kebencian kaum.

"Tugas kita adalah memastikan keharmonian kaum di Malaysia kekal utuh. Tindakan tegas perlu diambil supaya Malaysia terus menjadi negara yang menghargai kepelbagaian dan hidup bersama dalam aman damai," katanya sambil menambah apa yang berlaku di Sepang itu harus menjadi peringatan bahawa usaha untuk mengekang diskriminasi kaum tidak boleh dipandang ringan. 

Lim berharap semua pihak dapat bersama-sama menyokong cadangan penggubalan akta antidiskriminasi kaum demi masa depan Malaysia yang lebih bersatu.

Perbincangan mengenai isu ini dijangka terus menjadi perhatian kerana ia melibatkan masa depan perpaduan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS