Polis Petaling Jaya berkata kehadiran pihak penguatkuasa ke majlis baru-baru ini yang dianjurkan oleh penerbit buku Gerakbudaya adalah "aktiviti rutin" dan bukan bertujuan untuk mengganggu.
Kenyataan itu dibuat selepas Gerakbudaya menyiarkan gambar kehadiran beberapa anggota polis bersenjata pada majlisnya di media sosial.
“Rondaan pihak polis adalah aktiviti rutin dalam memantau sebarang program yang diadakan dan hanya melibatkan pemantauan di luar bangunan.
“Adalah ditegaskan bahawa kehadiran pihak polis bukan bertujuan untuk menganggu sebarang program atau aktiviti masyarakat atau mana-mana kumpulan yang diadakan secara sah,” kata ketua polis daerah Petaling Jaya Shahrulnizam Ja'afar dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Gerakbudaya juga telah menyiarkan gambar dua acara berasingan.
Shahrulnizam menjelaskan bahawa gambar pertama adalah daripada rondaan polis pada 15 Feb manakala yang kedua adalah rondaan pihak Kementerian Dalam Negeri pada 14 Feb.
Gerak Budaya sebelum ini mendedahkan KDN mencari “buku haram” di kedai mereka tetapi tidak menemuinya.
Setakat ini, kedua-dua Gerak Budaya dan KDN tidak mendedahkan buku apa yang dicari itu.
Bagaimanapun kerajaan pada 8 Februari lalu telah mengharamkan tiga lagi buku iaitu My Shadow Is Purple oleh Scott Stuart, Koleksi Puisi Masturbasi oleh Benz Ali dan All That's Left In The World oleh Erik J Brown.
Gerak Budaya pernah menerbitkan beberapa buah buku karya Benz Ali, penulis dan aktivis yang berpangkalan di ibu negara.
