Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) dari PAS hari ini meluahkan kebimbangan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) akan digunakan untuk pengajaran agama.
Dalam ucapannya ketika menjunjung titah diraja, dia bertanya sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai rancangan untuk membina kerangka dasar bagi menjaga kemuliaan Islam ketika berdepan AI.
“Saya mengemukakan hal ini kerana tidak mustahil AI ini menjadi ustaz atau ustazah yang tidak bertauliah, mengajar orang ramai suatu hari nanti, terutamanya yang terkait dengan akidah dan hukum fikah,” katanya di Dewan Rakyat.
Fakhruddin, yang juga seorang ustaz, berkata dia bimbang pemahaman agama Islam akan terancam dengan penggunaan AI untuk tujuan sedemikian.
Menurut semakan Malaysiakini dalam talian, terdapat platform agama yang menggunakan teknologi AI.
Wacana ini timbul ketika kerajaan Malaysia mendorong penggunaan AI yang lebih meluas sebagai sebahagian daripada agenda nasional.
Awal hari ini, Bernama melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM9 juta untuk menghantar guru ke luar negara bagi mengikuti kursus kepimpinan dan AI.
