Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prasarana mula tanpa subsidi - bekas CEO sanggah Loke
Diterbitkan:  Feb 17, 2025 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad, Ridza Abdoh Salleh, menolak dakwaan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa syarikat milik kerajaan tersebut telah menerima subsidi sejak hari pertama operasi.

Sebaliknya, Ridza menjelaskan Prasarana pada awalnya mampu berdikari hasil daripada pendapatan tambang pengguna dan hanya mula bergantung kepada subsidi selepas dia meninggalkan syarikat itu pada 2005.

Dalam satu perdebatan berlarutan selama beberapa bulan, Ridza yang merupakan CEO pertama Prasarana dari 2002 hingga 2005, menegaskan syarikat itu pada mulanya dapat menampung kos operasi sendiri melalui kutipan tambang.

"Prasarana bermula dengan baki kosong dalam akaun bank.

"Menjelang hujung bulan (September 2002), pendapatan yang dikumpul sudah cukup untuk menampung semua kos operasi, menunjukkan farebox ratio (nisbah tambang, penumpang) mencapai 1:0," katanya dalam satu hantaran di LinkedIn.

Menurut Ridza, momentum kejayaan LRT Putra sebelum diambil alih kerajaan telah membantu Prasarana untuk berkembang, bersama dengan LRT Star.

Menjelang awal tahun 2005, katanya, Prasarana berjaya mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak RM186 juta, dengan RM50 juta keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan.

"Bagaimanapun, selepas saya meninggalkan Prasarana pada Jun 2005, saya melihat dari jauh bahawa sistem yang telah dipasang sebelum ini mula diubah secara beransur-ansur, menyebabkan syarikat itu semakin bergantung kepada subsidi kerajaan.

"Ini sesuatu yang mendukacitakan. Prasarana telah membuktikan ia mampu berdikari hampir sedekad, dari awal operasinya pada 1998 (sebagai dua syarikat LRT) sehingga 2006," katanya.

Ridza membuat kenyataan ini sebagai maklum balas terhadap kenyataan Anthony Loke pada Oktober tahun lalu, dengan menteri itu mendakwa Prasarana telah menerima subsidi sejak awal bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan rel yang murah dan efisien.

Kenyataan Loke pula sebagai respon terhadap kenyataan Ridza pada Ogos 2024 yang menyoal kebergantungan Prasarana kepada subsidi, berkata ia boleh membunuh motivasi dan inovasi syarikat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS