Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamas tolak letak senjata, ikrar terus perangi ‘ejen Israel’ di Gaza
Diterbitkan:  Feb 18, 2025 11:49 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Seorang pegawai kanan Hamas berkata kumpulan itu tidak akan meletakkan senjata, malah mungkin meningkatkannya selepas perang di Gaza, sambil memberi amaran kepada negara lain supaya tidak bekerjasama dengan Israel di kawasan itu.

“Sesiapa yang datang untuk mengisi tempat Israel (di Gaza) akan dilayan seperti Israel,” kata Osama Hamdan, jurucakap Hamas dan anggota biro politik lapor CNN semasa perbincangan panel di Forum Al Jazeera di ibu negara Qatar, Doha.

“Sesiapa yang mahu bekerja sebagai ejen untuk Israel akan menanggung akibat menjadi ejen Israel,” katanya kepada forum itu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mengulas spekulasi mengenai rancangan untuk Gaza, pada Isnin lalu mengulangi pendiriannya bahawa "pada hari selepas perang di Gaza, tidak akan ada Hamas dan tiada pihak berkuasa Palestin," sambil menambah bahawa dia "komited dengan rancangan Presiden (Donald) Trump untuk mewujudkan Gaza yang berbeza."

Amaran itu datang ketika negara-negara Arab berebut-rebut untuk menyediakan cadangan pasca perang untuk Gaza sebagai alternatif kepada rancangan Presiden AS Trump untuk "mengambil alih" semenanjung itu, sambil mengurangkan jumlah penduduk dan mengubahnya menjadi "riviera" Asia Barat.

Emiriah Arab Bersatu telah berkata bahawa ia bersedia untuk mempertimbangkan peranan dalam Gaza selepas perang atas jemputan pihak berkuasa Palestin yang diperbaharui.

CNN juga memetik Hamdan sebagai berkata idea meletakkan senjata Hamas bukan untuk dibincangkan. Kumpulan itu "tidak dipadamkan" oleh perang, katanya, sambil menambah bahawa mereka akan berkumpul dan meneruskan semula perjuangannya.

"Dan saya beritahu anda, kami mempunyai peluang untuk berkembang."

Sementara itu, AFP memetik Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, sebagai berkata Hamas mesti meletak senjata dan meninggalkan Gaza, mengikut syarat fasa seterusnya dalam gencatan senjata.

Dia berkata demikian menjelang mesyuarat Knesset (kabinet Israel) untuk membincangkan fasa seterusnya dalam gencatan senjata antara Israel dan Palestin, serta  Hamas.

Smotrich dalam kenyataan menerusi video, berkata dia “'menuntut diadakan undian” berhubung rancangan Trump, untuk mengosongkan Gaza daripada penduduk Palestin sebelum membangunkannya.

Laporan AFP juga menyebut Smotrich, sebagai berkata, Israel mesti 'mengeluarkan kata dua kepada Hamas supaya membebaskan segera semua tebusan, meletakkan senjata dan tinggalkan Gaza untuk ke negara lain'.

"Jika Hamas enggan patuhi tuntutan ini, Israel akan buka pintu neraka buat mereka'," kata Smotrich, mengulangi ungkapan yang digunakan Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Sebagai penentang kuat terhadap usul untuk menghentikan peperangan, dia mengancam akan meletak jawatan daripada gabungan pemerintah pimpinan Netanyahu jika peperangan tidak disambung semula selepas tamatnya fasa pertama gencatan senjata.

Sementara itu, AP pula melaporkan Mesir sedang membangunkan rancangan untuk membina semula Gaza tanpa memaksa rakyat Palestin keluar dari jalur itu.

Rancangan itu sebagai reaksi menolak kepada cadangan Presiden Trump yang mahu mengurangkan penduduk Palestin di wilayah itu supaya AS boleh mengambil alihnya.

Akhbar Al-Ahram milik kerajaan Mesir berkata cadangan itu memerlukan penubuhan "kawasan selamat" di Gaza yang rakyat Palestin boleh tinggal pada mulanya manakala firma pembinaan Mesir dan antarabangsa mengalih dan memulihkan infrastruktur di semenanjung itu.

Pegawai Mesir telah membincangkan rancangan itu dengan diplomat Eropah serta Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, menurut dua pegawai Mesir dan diplomat Arab dan Barat.

Mereka juga membincangkan cara untuk membiayai pembinaan semula, termasuk persidangan antarabangsa mengenai pembinaan semula Gaza, kata salah seorang pegawai Mesir dan seorang diplomat Arab.

Para pegawai dan diplomat bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana cadangan itu masih dirundingkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS