Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Presiden PAS meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan meskipun ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Hadi Awang (PN- Marang) berkata, bahasa Melayu masih lagi terpinggir di negara ini dan bahasa asing masih menjadi keutamaan termasuk dalam urusan kerajaan.

"Apa berlaku hari ini bercelaru, kedai di bandar, ibu negara semua bahasa ada, (penggunaan) bahasa Melayu kadang-kadang halus (kecil) sahaja, bahasa Inggeris besar (walaupun orang) Inggeris dah tak ada.

"Dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja, yang orang kita ni ramai semua boleh berbahasa Melayu, (tapi) cakap (guna bahasa) Inggeris juga, surat rasmi, bicara di mahkamah masih lagi bahasa Inggeris," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ironinya, Abdul Hadi berkata demikian ketika mana hari ini Parlimen menerima kunjungan delegasi Dewan Rakyat United Kingdom (UK).

Katanya, masyarakat berbilang kaum di negara ini menerima bahasa Melayu, namun dalam masa sama bahasa lain dibenarkan untuk digunakan termasuk mempelajarinya.

Abdul Hadi memberi contoh sesetengah negara yang memartabatkan bahasa kebangsaan sanggup menggunakan bahasa ibunda mereka ketika di pentas persidangan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, pemimpin yang menggunakan bahasa asing adalah mereka yang masih lagi dijajah selain tiada identiti jiwa bangsa.

"Kita lihat negara lain pergi ke PBB, kita lihat pemimpin mereka berucap dalam bahasa ibundanya.

"Tak berucap dengan (menggunakan) bahasa Inggeris, kecuali mereka (yang) dijajah, negeri yang ada identiti, ada jiwa bangsa, (mereka) bercakap gunakan bahasa ibunda," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS