Dua Adun Sabah yang terpalit dengan dakwaan rasuah hari ini dilaporkan menganggap penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar isyarat bahawa ia perlu dilupakan, dan terbukti siapa berada di pihak yang benar.
Malah, Adun Sindumin, Yusof Yacob, melontarkan pertanyaan kepada orang ramai sama ada mahu percaya kepada pihak berkuasa atau orang yang membuat dakwaan tersebut.
Menganggap kes berkenaan sudah selesai dengan kenyataan SPRM, Yusof berkata, sejak awal dia menyerahkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
"Itu sudah selesai, maknanya betullah tu. Kita nak percaya siapa lagi?
“Sebelum ini saya telah katakan kita serah kepada SPRM dan SPRM sudah buat pengumuman, jadi maknanya tohmahan dan tafsiran negatif itu sudah terjawab.
"Jadi tidak ada isu lagi, kita buat kerja macam biasa. Saya tidak mahu bincang lagi, kita mahu kerja, kita mahu tutup kes itu,” katanya seperti dipetik Sinar Online.
Yusof yang pernah menjadi ahli parlimen Warisan sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah juga menganggap pihak yang terus memainkan isu berkenaan sebagai individu yang wajar dinilai oleh rakyat sama ada wajar terus dibenarkan menjadi pemimpin atau tidak.
“Ini semua jenis pemikiran toksik, dendam dan dengki. Jadi rakyat harus menilai siapa pemimpin yang berfikiran toksik ini.
"Rakyat mahu pemimpin yang rasional, melihat jauh ke hadapan, kita mahu rakyat itu bersama-sama membangun bukan meracun rakyat untuk membuat sesuatu yang tidak rasional," katanya.
Harap tak berlaku lagi
Baru-baru ini Malaysiakini mendedahkan sejumlah rakaman video menunjukkan perbincangan seorang ahli perniagaan dengan beberapa ahli politik Sabah berhubung sumbangan yang dianggap rasuah.
Ia terkait dengan kelulusan diberi kerajaan negeri terhadap projek cari gali mineral di negeri berkenaan.
Ketua Menteri Hajiji Noor menafikan berlaku sebarang amalan rasuah dan menegaskan pendedahan itu berniat mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Yusof adalah seorang daripada Adun yang didakwa terlibat dalam perbincangan berkenaan.
Pada 16 Feb lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dilaporkan berkata klip video yang didedahkan itu tidak boleh dijadikan bahan bukti kerana sudah disuting, justeru tiada kredibiliti.
Kata Azam, dapatan tersebut diperolehi selepas ia diteliti unit forensi agensi antirasuah berkenaan.
Seorang lagi Adun yang dikaitkan dengan skandal itu, Rubin Balang, berkata dia bersyukur apabila SPRM menganggap klip video berkenaan tidak berkredibiliti dan ia boleh disaksikan sendiri oleh orang ramai.
“Ia akan dapat dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia bahawa semua ini adalah perbuatan yang sangat jahat kepada kami.
"Jadi diharap ini tidak akan berlaku di masa akan datang dan saya yakin SPRM telah pun menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.