Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menggesa kerajaan supaya memberi kata putus dan tidak berteka-teki mengenai peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Syed Saddiq menjelaskan, dia sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, namun setakat ini belum menunjukkan perkembangan positif.
Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa bersetuju untuk menjadi model sebagai usaha mendapatkan dana bagi menampung keperluan rakyat di kawasannya.
"Surat demi surat telah dihantar. Lebih 400 hari sudah berlalu tapi bantuan daripada kerajaan ke Parlimen Muar kosong ringgit.
"Saya dah cuba (berunding) banyak kali (tapi) tak berjaya...sebab itu saya lari dari Muar ke Parlimen, baru-baru ni jadi model, ada MP (ahli Parlimen) marah saya sebab saya jadi model, (sedangkan) saya terpaksa jadi model...akhirnya, alhamdulillah dapatlah sumbangan lebih RM1 juta bagi Parlimen Muar," katanya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tahun lalu, bekas ahli parlimen PH itu berlari sejauh kira-kira 200km dari Muar ke Parlimen sebagai protes terhadap keengganan kerajaan memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Selepas berlari selama kira-kira empat hari, dia tiba di bangunan parlimen pada 1 Julai dan berjaya mengumpulkan RM160,000 dalam bentuk derma untuk penduduk di kawasannya.
Sementara itu, dalam satu hantaran di Instagram, Syed Saddiq mengucapkan terima kasih kepada syarikat tempatan, Primavalet kerana menyumbangkan RM1 juta kepada golongan memerlukan di kawasannya dalam bentuk pakaian Aidilfitri, telekung, dan barangan runcit.
Dalam sesi Parlimen pada November lalu, Fadillah berkata dia terbuka untuk berbincang dengan ahli parlimen pembangkang mengenai peruntukan untuk kawasan mereka.
Katanya, Syed Saddiq adalah satu-satunya ahli parlimen yang telah mengemukakan respons terhadap memorandum persefahaman dan memberi jaminan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.
