PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) adalah taktik halus untuk menyingkirkan orang Melayu daripada terus menetap di kawasan bandar.
Sambil menyifatkan bahawa tiada keperluan untuk menggubal akta baru, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN- Kubang Kerian), berkata akta sedia ada telah memadai.

"Tiada keperluan untuk wujudkan akta baru untuk pembangunan yang lebih penting demografi di kawasan bandar supaya tidak dimonopoli satu kaum.
"Bila akta ini diluluskan, kawasan tersebut akan dibangunkan semula, mereka yang sebelum ini beli rumah dengan harga lebih RM100,000, mereka tak mampu beli balik rumah dengan harga lebih RM500,000.
"Menteri jawab bank ada untuk bagi pinjaman… jadi menteri nak bagi kapitalis monopoli. Ini kaedah halus supaya mereka yang tak mampu (untuk) keluar dari bandar khususnya orang Melayu, India," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, sekumpulan NGO berkumpul di hadapan pintu masuk ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap URA kepada ahli Parlimen PN.
Memorandum yang ditandingi 31 NGO itu diserahkan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin.

Pada 30 Okt tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengingatkan pimpinan PAS “biar miskin harta, tapi jangan miskin minda”.
Mengulas dakwaan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan tahun depan bakal menindas golongan Melayu bandar, dia juga menasihatkan pimpinan PAS agar meninggalkan sikap asabiyyah mereka.
“Saya nak gesa ahli parlimen daripada PAS, sila tinggalkan sikap asabiyyah sedemikian.
“Bak kata pepatah Melayu, boleh miskin harta jangan miskin minda,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ahli Parlimen PN akan menentang akta berkenaan yang jelas boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat.
Katanya, pindaan akta itu ke arah untuk mewujudkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akhirnya dikuasai oleh satu kaum sahaja.
"Dia (URA) ke arah bina pilihan raya PBT yang akan dimonopoli oleh satu kaum, kita akan menentang akta ini, kalau diluluskan akan timbul masalah lebih besar," katanya lagi.
Sementara itu, Ahmad Amzad dalam sidang media sama berkata akta itu jika diluluskan akan menggugat hak pemilikan tanah dalam bandar.

Katanya, jika sebelum ini ia memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik untuk membolehkan rumah ataupun tanah di sesuatu kawasan diambil bagi tujuan pembangunan.
"Sebelum ini (melalui) akta tanah sebelum ini perlu mendapat persetujuan 100 peratus... akta yang ada kini dalam keadaan tertentu persetujuan 51 peratus sudah boleh dijalankan dalam beberapa kategori.
"(Namun) secara had umum memerlukan 75 peratus (ini) mengancam mereka yang duduk dalam bandar," katanya.
URA - yang masih belum dibentangkan di Parlimen - disebut-sebut sebagai cara untuk membangunkan semula perumahan lama di bandar-bandar.
Antara yang dicadangkan untuk ditangani ialah halangan 100 peratus untuk kerajaan membangunkan semula perumahan strata lama.
Nga dilaporkan mencadangkan agar ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus untuk bangunan di bawah umur 30 tahun, 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus untuk hartanah tidak selamat atau terbiar.
