Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump: Ukraine tak sepatutnya mulakan perang dengan Rusia

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa berpendapat bahawa Ukraine bertanggungjawab atas operasi ketenteraan Rusia di negara itu hampir tiga tahun lalu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pencerobohan besar-besaran oleh Rusia di Ukraine bermula pada Februari 2022 apabila tentera Rusia memasuki negara itu dari Belarus, Rusia dan Crimea.

Trump mengeluarkan kenyataan itu ketika Menteri Luar AS dan Rusia bertemu di Riyadh untuk membincangkan usaha memulihkan hubungan dan menghentikan perang di Ukraine.

Trump menjawab kritikan dari Ukraine bahawa negara itu tidak dijemput ke mesyuarat berkenaan.

“Tetapi hari ini saya mendengar, ‘Oh, kami tidak dijemput’. Anda sudah berada di sana selama tiga tahun.

“Anda seharusnya tidak memulakan perang ini. Anda boleh sahaja membuat perjanjian,” kata Trump.

Trump, yang kembali ke Rumah Putih kurang sebulan lalu mencadangkan bahawa sekiranya beliau berkuasa ketika perang bermula, beliau mungkin dapat membuat perjanjian yang akan memberikan Ukraine "hampir semua tanah dan tiada rakyat yang akan terbunuh serta tiada bandar yang akan musnah," katanya.

"Saya mahu melihat keamanan. Saya tidak mahu lagi melihat semua orang terbunuh,” kata Trump.

Presiden AS itu juga menegaskan bahawa pilihan raya adalah perlu di Ukraine.

“Itu (cadangan pilihan raya) bukan dari Rusia. Itu datang dari saya dan banyak negara lain juga,” kata Trump.

Rusia berpendapat bahawa tempoh jawatan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky tamat pada Mei lalu dan Ukraine perlu mengadakan pilihan raya.

Menurut Kyiv, kuasa Zelensky masih sah di bawah undang-undang tentera yang sedang berkuatkuasa di Ukraine.

Kali terakhir Ukraine mengadakan pilihan raya presiden pada 2019.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS