Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Warisan bagi soalan 'sakit kepala' buat bos SPRM
Diterbitkan:  Feb 19, 2025 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Seorang lagi pemimpin Warisan menegur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung cara agensi itu mengendalikan kes dakwaan skandal rasuah melibatkan sejumlah ahli politik.

Kali ini Adun parti itu, Justin Wong, dia mempunyai soalan yang pasti akan menyebabkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sakit kepala.

Mengingatkan kembali kejadian pasangan warga Britain yang mendedahkan bagaimana seorang anggota polis trafik di Malaysia meminta dan menerima rasuah RM100 daripada mereka, Wong berkata, kejadian tersebut menarik perhatian begitu ramai orang.

Justeru kata Adun Sri Tanjung berkenaan, dia mahu bertanya kepada Azam - mengapa hanya tiga anggota polis trafik yang terlibat disiasat dan ditahan reman sebaliknya pasangan pelancong asing terbabit - yang merupakan pemberi suapan - tidak diambil sebarang tindakan

“Malah pasangan tersebut turut dilabel sebagai mangsa, ramai yang puji tindakan mereka merakam video tersebut.

“Saya percaya Azam sakit kepala untuk menjawab soalan saya sebab keadaannya sama seperti kegiatan skandal rasuah yang berlaku di Sabah dan disertai lapan rakaman video,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 30 Jan tahun lalu, pasangan Chris dan Marianne Fisher dilaporkan membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka selepas rakaman video kejadian meminta suapan itu disiarkan di YouTube lalu menjadi tular.

Berlarutan selama 4 bulan

Wong membangkitkan perkara itu selepas Azam mengulangi pendirian SPRM bahawa pemberi maklumat skandal di Sabah - yang mendakwa memberi rasuah kepada beberapa Adun negeri itu - tidak akan diberi perlindungan.

Menggariskan senario berbeza, Wong berkata, Azam mesti memutuskan siapa yang harus dibawa ke muka pengadilan.

“(A) Pemberi rasuah seorang yang diheret ke mahkamah, manakala lapan Adun yang menerima rasuah dijadikan sebagai saksi untuk pihak pendakwaan.

“(B) Lapan Adun penerima rasuah diheret ke mahkamah, manakala pemberi rasuah dijadikan sebagai saksi untuk pihak pendakwaan.

“(C) Tiada kes, kedua-dua pihak tidak diheret ke mahkamah,” katanya yang mengemukakan pilihan kepada SPRM.

Rakaman video pasangan Chris dan Marianne Fisher ditahan polis

Wong juga menjelaskan wujud 'teka-teki' dalam pilihan jika SPRM mahu mendakwa kedua-dua pihak dalam kes rasuah.

Katanya, ada yang bertanya mengapa tidak dikenakan tindakan ke atas pemberi dan penerima kerana kesalahan itu hanya melibatkan dua pihak.

“Jika kedua-duanya didakwa, siapa yang akan memberi keterangan sebagai saksi, dan pihak mana yang akan mengaku melakukan kesalahan itu?

"Sebab itu SPRM tidak dapat menyelesaikan kes ini yang berlarutan selama empat bulan,” tambahnya.

Wong turut menegaskan bahawa mereka yang ditangkap atau didakwa dalam kes rasuah kebanyakan adalah pihak yang menjadi penerima.

Dalam mana-mana perbuatan rasuah, katanya, mesti ada pemberi dan penerima, namun jarang dilihat pihak yang pemberi didakwa.

“Mengapa pemberi rasuah dalam kes-kes sebelum ini diberi perlindungan dan terlepas daripada pendakwaan? Azam, jawab soalan ini.

“Jika dia tidak mempunyai keupayaan untuk memimpin SPRM, letak jawatan. Berhentilah mencemarkan nama baik dan kredibiliti SPRM di mata seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Junz Wong

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Warisan, Junz Wong, ketika berucap sempena majlis Tahun Baru Cina pada Selasa lalu berkata skandal yang terdedah kepada umum baru-baru ini memalukan Sabah.

Dia turut mendakwa SPRM tidak membuat sebarang tangkapan kerana mereka yang terbabit adalah “YB” atau wakil rakyat.

“Tetapi bagaimana jika mereka kalah esok (dalam pilihan raya negeri akan datang) dan tidak lagi menjadi wakil rakyat? Masuk jel?

“Pastikan mereka kalah (dalam pilihan raya akan datang). Apabila mereka dikalahkan, kami akan pastikan mereka (dipenjara),” tambahnya yang juga Adun Tanjung Aru dalam video di TikTok.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sebelum ini menegaskan dakwaan itu sebagai cubaan untuk memburukkan pentadbirannya, selain menunjukkan pemberi maklumat itu bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan.

Pemberi maklumat juga dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang ingin monopoli perlombongan di Sabah dan melakukan penipuan untuk mencapai objektifnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS