PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang membidas ketiadaan hampir semua menteri ketika Presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN- Marang) berucap pada sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, meskipun telah menjadi kerajaan namun, mereka masih berperangai pembangkang.

Katanya, perbuatan sebegitu jelas tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan Parlimen dijadikan gelanggang untuk menyampaikan suara rakyat.
"Itulah kerajaan yang masih anggap dia pembangkang. Masa pembangkang dulu dia boikot, dia keluar dewan kalau tak mahu dengar sesuatu ucapan, sekarang mereka buat benda yang sama.
"Walhal Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah supaya Parlimen jadi gelanggang suara rakyat. Kena ada semak dan imbang.
"Nampaknya kerajaan hari ini seolah-olah tidak hormat titah Tuanku," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, tular di media sosial mengenai ketiadaan menteri ketika presiden PAS itu membahas usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Parlimen.

Berdasarkan semakan Malaysiakini ketika Abdul Hadi berucap hanya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berada di dalam Dewan Rakyat.
Selebih kerusi barisan menteri kosong.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN- Machang) berkata ini bukan kali pertama berlaku kerusi menteri kosong ketika ahli Parlimen berbahas.
"Ini dah banyak kali berlaku, bukan sahaja tak datang tapi korum tak cukup barangkali. Sebenarnya pihak kerajaan dia angkuh, dahlah angkuh bodoh sombong pula.
"Jika kita tegur mereka perlecehkan kita, dia buat silap, bila kita kritik kena terimalah.

"Jadi ini menunjukkan kerajaan gagal menguruskan banyak perkara sebagai itu tidak mahu berdepan dengan kita," katanya.
Oleh sebab itu kata Wan Ahmad Fayhsal kerajaan tidak akan ambil peduli teguran pembangkang.
