PARLIMEN | Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, hari ini menafikan dakwaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) umpama "akta rampas rumah".
Sebaliknya Nga memberi jaminan yang akta itu menjamin hak milik asal pemilik dan tidak sesekali ada pihak yang akan merampasnya, sekali gus menolak kebimbangan pihak pengkritik ia akan meminggirkan kaum tertentu.
Malah, dakwa Nga, pemilik hartanah berkenaan akan mendapat nilai yang lebih tinggi ke atas hartanahnya selepas pembangunan dilaksanakan mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa.
"Akta ini sama ada tersurat atau tersirat tidak sama sekali akan meminggirkan atau mengancam golongan tertentu terutamanya dari aspek perbezaan kaum atau tahap pendapatan khususnya kumpulan B40 dan M40.
"Tiada sebarang unsur paksaan atau isu gentrifikasi dalam penggubalan akta ini kerana mekanisme penting pelaksanaan PSB (URA) ialah mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan dan bukan pengambilan secara paksa.
"Oleh yang demikian, melalui pemilikan hartanah baru yang lebih tinggi nilainya adalah untuk memastikan pengekalan pemilik hartanah menghuni di kawasan atau lokasi yang sama dengan persekitaran dan infrastruktur yang bernilai lebih tinggi dari aspek ekonomi, infrastruktur baru dan kualiti persekitaran.
"Pengekalan pemilik dan penduduk asal membuktikan bahawa tiada sebarang unsur rampasan tanah atau hartanah mahupun membangkitkan isu yang berkaitan unsur-unsur penindasan dan pengusiran atau gentrifikasi," katanya ketika menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat petang ini.
URA yang bakal digubal kerajaan sebelum ini dikhuatiri pengkritik akan menjadi “pengkhianatan terbesar” kepada golongan miskin bandar apabila ia didakwa menyebabkan golongan terbabit berisiko diusir keluar.
Semalam, Syed Saddiq turut mendesak kerajaan menamakan semula URA tersebut sebagai akta "rampas rumah" kerana didakwanya melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
"Ini adalah pengkhianatan terbesar pada golongan susah yang tinggal di kawasan bandar.
"Saya tak nak undang-undang ini dipanggil (sebagai) Akta Pembaharuan Semula Bandar, saya rasa lebih tepat akta rampas rumah," katanya ketika membahas usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Menjawab kritikan Syed Saddiq, Nga membidas bekas menteri terbabit kerana dianggap telah membuat tuduhan jahat yang bersifat fitnah di Dewan Rakyat.
“(URA) berniat sangat suci, bukan akta rampasan, ini satu kenyataan salah berniat jahat bertujuan memesongkan dewan khususnya setelah hadir sesi taklimat.
“Masuk dewan terus tabur fitnah.
"YB Muar (Syed Saddiq) naiwaitunya sangat jahat - masuk dewan buat fitnah. Saya minta supaya beliau bertaubat, tak ulangi lagi perbuatan sedemikian," katanya lagi.
