Banduan Malaysia Pannir Selvam Pranthaman, yang dijadualkan dihukum mati di Singapura pagi esok, diberikan penangguhan sementara oleh Mahkamah Tinggi Singapura.
Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran (gambar) memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa penjara Singapura memaklumkan kepada keluarga Pannir malam ini bahawa hakim Woo Bih Li telah membenarkan penangguhan hukuman mati itu sementara menunggu keputusan dua perkara yang tidak dapat diselesaikan.
“Esok hukuman gantung tidak akan diadakan. Saya sangat gembira untuk mengatakan ia tidak akan berlaku (esok),” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Memetik penghakiman Woo, Surendran menjelaskan isu pertama adalah cabaran undang-undang yang sedang berjalan terhadap keperlembagaan Seksyen 18(1) dan (2) Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.
Peruntukan itu menganggap sesiapa yang ditemui dalam jagaan dadah terkawal juga memiliki dadah itu dan menyedarinya, melainkan dibuktikan sebaliknya.
Kesahihan kedua-dua peruntukan ini sedang dibicarakan di mahkamah tertinggi Singapura dan keputusannya boleh memberi kesan kepada sabitan kesalahan Pannir.
Isu lain, Surendan berkata, Pannir masih mempunyai kes berterusan melibatkan aduan salah laku terhadap bekas peguamnya.
Pannir, kini 37, disabitkan pada 2017 kerana bertindak sebagai kurier untuk mengimport 51.84g heroin, satu kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori. Jenayah itu berlaku di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014.
Beberapa NGO dan ahli parlimen kerajaan telah merayu agar hukuman mati dihentikan dan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan.
Awal hari ini, tujuh pakar PBB turut menyertai gesaan untuk menghentikan hukuman mati itu dan menggesa pihak berkuasa Malaysia menyokong kes Pannir.
