Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO hak haiwan akan berhimpun di luar parlimen sekali lagi
Diterbitkan:  Feb 20, 2025 10:55 AM
Dikemaskini: 6:54 AM

Berang dengan tindakan yang didakwa tidak tegas terhadap pembunuhan haiwan jalanan, sekumpulan NGO akan sekali lagi berarak ke parlimen pada 24 Februari ini.

“Usaha segera ini bertujuan menangani krisis berterusan pembunuhan haiwan terbiar, khususnya tindakan kejam membunuh anjing liar.

“Kami juga mahu mendesak perlindungan yang lebih tegas serta pembaharuan dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015,” kata wakil Gabungan NGO dan Warga Prihatin terhadap Kebajikan Haiwan di Malaysia, S Shashi Kumar, dalam satu kenyataan hari ini.

November lalu, kira-kira 100 individu berkumpul di hadapan Parlimen bagi menyerahkan memorandum menuntut keadilan untuk haiwan jalanan.

‘Keadilan untuk Kopi’

Gerakan yang dikenali sebagai "Justice for Kopi" itu tiba pada jam 10.30 pagi dengan membawa plakad dan sepanduk yang menuntut reformasi undang-undang dalam pengurusan haiwan jalanan sambil melaungkan slogan "Justice for Kopi" dan "Justice for all animals".

Perhimpunan itu diadakan susulan kematian seekor anjing liar bernama Kopi, yang didakwa telah ditembak mati oleh pekerja Majlis Daerah Besut sebulan sebelumnya.

Mereka menuntut pindaan terhadap Akta Kebajikan Haiwan serta menggesa kaedah yang lebih berperikemanusiaan dalam menguruskan haiwan terbiar.

Memorandum mereka diterima oleh sekumpulan Ahli Parlimen yang diketuai bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

‘Tiada pilihan’

Mengulas mengenai perarakan akan datang, Shashi menegaskan NGO terbabit "tidak mempunyai pilihan" selain turun sekali lagi ke jalan raya selepas pihak berkuasa gagal mengambil tindakan tegas bagi menghentikan amalan kejam dalam menangani haiwan jalanan.

“Kerajaan berulang kali menggunakan kaedah kejam untuk mengurangkan populasi haiwan terbiar, dengan pihak berkuasa tempatan mengamalkan kaedah pelupusan yang tidak berperikemanusiaan.

“Insiden penyeksaan dan pembunuhan haiwan yang semakin meningkat telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Keengganan kerajaan untuk mendakwa pelaku menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa,” kata Presiden Global Human Rights Federation itu.

Shashi turut mendakwa memiliki bukti termasuk rakaman video dan keterangan saksi mengenai tindakan kejam dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap haiwan terbiar.

“Dalam banyak kes, pelaku terlepas daripada tindakan undang-undang walaupun terdapat bukti jelas kesalahan mereka,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS