Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Lim Guan Eng (PH-Bagan) menggesa Dewan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) kerana mengaitkan cadangan akta antidiskriminasi kaum dengan tragedi 13 Mei 1969.

Memetik Perintah Tetap Dewan Rakyat Seksyen 36(10)(c) dan Seksyen 36(12), Lim mendakwa ucapan Ahmad Marzuk pada Selasa lalu itu boleh menimbulkan perasaan permusuhan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan mengelirukan dewan.

Menurut pengerusi DAP itu, dia tidak menyebut apa-apa mengenai rusuhan kaum 13 Mei ketika mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Perpaduan Negara.

"Saya bertanya kepada menteri perpaduan niat untuk menggubal undang-undang menentang diskriminasi kaum susulan peristiwa di Sepang dan dijawab menteri, semua teratur.

"Tetapi secara tiba-tiba Pengkalan Chepa dalam ucapannya membuat tuduhan liar bahawa cadangan saya boleh mencetuskan (rusuhan kaum seperti) tragedi 13 Mei.

“Hanya kerana saya bertanya terdapat rancangan untuk membuat undang-undang anti diskriminasi kaum, yang boleh membantu kita menangani sentimen perkauman yang disebabkan oleh ucapan kebencian terhadap mana-mana kaum.

"Saya tidak tahu bagaimana (cadangan) untuk mengelakkan kejadian tidak diingini boleh diputarkan sedemikian rupa oleh Pengkalan Chepa, sedangkan saya tidak menyebut apa-apa tentang tragedi 13 Mei," kata Lim di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Marzuk Shaary

Lim kemudian menggesa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengarahkan Marzuk menarik balik kenyataannya dan mengeluarkan permohonan maaf kerana mengaitkan cadangan Lim dengan tragedi itu.

“Jika dia enggan berbuat demikian, dia (Marzuk) perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

Johari kemudiannya meminta Lim mengemukakan usul bertulis kepada pejabatnya supaya dia boleh membincangkan perkara itu dengan betul sebelum membuat keputusan.

Pada sesi soal jawab Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Lim bertanya kepada Menteri Perpaduan Nasional Aaron Ago Dagang sama ada Putrajaya mempunyai rancangan untuk memperkenalkan undang-undang menentang diskriminasi kaum.

Bekas menteri kewangan itu dilaporkan berkata terdapat peningkatan jumlah insiden melibatkan diskriminasi kaum, termasuk yang terbaru di Sepang yang menyaksikan seorang penjual jagung memasang papan tanda enggan menjual produknya kepada kaum tertentu.

Marzuk dalam ucapannya kemudian mendakwa cadangan Lim itu boleh mencetuskan ketegangan kaum dan berkemungkinan boleh mencetuskan pertumpahan darah seperti yang berlaku dalam rusuhan kaum 1969 di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS